Harga minyak Asia menurun

Harga minyak Asia menurun

SINGAPURA, 27 Julai (AFP) – Harga minyak merosot selanjutnya di Asia hari ini, terjejas oleh kemelesetan dalam sektor pengeluaran di China, negara pengguna minyak teratas di dunia.

Dolar yang kukuh dan tanda-tanda pengeluaran minyak Amerika Syarikat (AS) yang meningkat menambah tekanan ke atas harga, yang telah pun meleset akibat bekalan berlebihan minyak mentah global, kata penganalisis.

Minyak AS West Texas Intermediate (WTI) untuk hantaran pada September merosot 20 sen kepada AS$47.94 dan minyak mentah Brent untuk September merosot lapan sen kepada AS$54.54 dalam perniagaan pada tengah hari.

“Pengukuhan dolar AS, kelemahan data pengeluaran lemah dari China dan pertambahan dalam pengiraan pelantar AS menambah kepada masalah pasaran minyak mentah yang lemah,” kata Sanjeev Gupta, yang mengetuai firma minyak dan gas Asia Pasifik di pertubuhan perkhidmatan profesional EY.

Satu tinjauan bebas pada Jumaat menunjukkan pengukur utama aktiviti pengeluaran China merosot kepada tahap rendah 15 bulan pada Julai, menyuramkan pertumbuhan di ekonomi kedua terbesar dunia.

Indeks Pengurus Pembelian Caixin (PMI), yang menjejaki aktiviti di kilang dan bengkel, dilihat sebagai pengukur utama keadaan ekonomi negara.

Dalam tanda-tanda yang menunjukkan penggerudi sedang menambah pengeluaran, pengeluar AS menambah 21 pelantar minyak pada minggu lalu, menurut firma perkhidmatan minyak Baker Hughes.

Juga menambah kepada tekanan berkurangan ke atas harga adalah jangkaan Simpanan Persekutuan AS akan mula menaik kadar faedah sebelum akhir tahun, memperkukuh dolar dan menjadikan minyak, yang dijual dalam dolar, lebih mahal kepada pemegang mata wang yang lebih lemah.