Harga minyak Asia pulih

Harga minyak Asia pulih

SINGAPURA, 28 Jun (AFP) – Harga minyak berpulih di Asia hari ini disebabkan pemburuan tawar-menawar tetapi kesan lanjutan daripada pengundian Britain yang mengejutkan pada minggu lalu untuk meninggalkan Kesatuan Eropah terus menjejas sentimen pembelian.

Pemulihan dalam emas hitam berlaku sejajar dengan pemulihan dalam pasaran saham Asia tatkala spekulasi tersebar mengatakan pihak berkuasa mungkin melancarkan langkah perangsang untuk menghapus kesan Brexit.

Pada kira-kira 0635 GMT, minyak AS West Texas Intermediate naik 63 sen, atau 1.36 peratus, kepada AS$46.96 dan Brent memperoleh 54 sen, atau 1.15 peratus, kepada AS$47.70.

Kedua-dua kontrak telah merosot kira-kira 10 peratus sejak mencecah tahap tinggi 2016 pada awal bulan ini, dengan pengundian pada Khamis mempercepat penjualan.

“Kekacauan dalam pasaran kewangan, dicetuskan oleh keputusan referendum UK, sedang mengekal tekanan ke atas harga minyak, yang dijangka mencatat kerugian bulanan pada Jun,” kata penganalisis IG Markets Bernard Aw.

“Kekurangan panduan daripada kerajaan UK dan prospek pergelutan kepimpinan terus menjejas minat pelabur, dan ia harus berlarutan sepanjang minggu ini,” beritahunya kepada AFP.

Perdana Menteri Britain David Cameron meletak jawatan setelah tewas dalam pengundian dan perlumbaan sudah bermula untuk mencari seorang pengganti yang akan ditugaskan untuk berbincang perjanjian dengan panjang lebar untuk mengeluarkan negara daripada EU.

Sementara pasaran sedang menikmati pemulihan hari ini, ahli ekonomi berkata masih timbulnya ketidakpastian.

“Selain daripada pertimbangan ekonomi, kebimbangan yang timbul adalah pengundian Brexit mungkin menggalak negara EU lain untuk mendapatkan referendum mereka sendiri, termasuk Belanda, Perancis, Sepanyol dan Greece,” kata Bank DBS dalam satu nota.