Harga minyak Asia terus merosot

Harga minyak Asia terus merosot

SINGAPURA, 28 Julai (AFP) – Harga minyak merosot seterusnya di Asia hari ini selepas kemerosotan dalam saham China menjejas pasaran global dan menambah kebimbangan mengenai bekalan berlebihan komoditi.

Minyak AS West Texas Intermediate untuk hantaran pada bulan September merosot 17 sen kepada $47.22 dan minyak mentah Brent untuk September kerugian 30 sen kepada $53.17.

Kedua-dua kontrak ditutup lebih rendah semalam.

Shanghai merosot 8.48 peratus semalam, kemerosotan terbesarnya dalam lapan tahun, disebabkan kebimbangan kerajaan China akan menarik balik langkah sokongan yang diluluskan pada awal bulan untuk mengelak kemelesetan ketika menghadapi keadaan kucar-kacir pasaran.

Kerugian berterusan hari ini, tidak menghiraukan janji kerajaan untuk menyokong pasaran, dengan Indeks Komposit Shanghai merosot 1.0 peratus pada waktu rehat.

Ia berlegar ketika sesi, merosot 5.0 peratus dan meningkat hampir satu peratus dalam julat positif.

“Apabila pasaran China merosot kepada tahap sedemikian, ia mencetuskan kebimbangan di kalangan pelabur.

Kemerosotan dalam harga minyak mentah adalah disebabkan kebimbangan yang timbul,” kata Daniel Ang, penganalisis pelaburan dengan Phillip Futures di Singapura.

“Kami perlu melihat hala tuju pasaran China,” beritahunya kepada AFP.

Penganalisis bimbang krisis dalam pasaran saham China akan menjejas permintaan dalam ekonomi kedua terbesar dunia dan negara pengguna minyak utama.

“Kami akan memerhati pasaran ekuiti China,” kata Bernard Aw, ahli strategi pasaran di IG Markets Singapura.

“Lebih khusus lagi, adalah menarik untuk melihat apa lagi yang boleh dikemukakan oleh kerajaan China untuk mempertahan pasaran.”

Harga minyak juga meleset disebabkan bekalan berlebihan minyak mentah global yang datang daripada pengeluaran kukuh di Amerika Syarikat dan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum yang dipimpin oleh Arab Saudi.

ARTIKEL YANG SAMA