Harga minyak Brent AS$38.27 setong

Harga minyak Brent AS$38.27 setong

SINGAPURA, 4 April (Reuters) – Harga minyak jatuh dalam dagangan pagi ini selepas peluang untuk pengeluar rantau Asia Barat untuk bersetuju mengehadkan pengeluaran dilihat semakin pudar. Pada masa sama, pengeluaran di Amerika Syarikat (AS) masih kekal tinggi.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS diniagakan pada AS$36.25 satu tong pada 0143 GMT, turun 1.5 peratus atau 54 sen daripada penutup terakhirnya.

Minyak mentah dagangan antarabangsa Brent pula susut satu peratus atau 40 sen pada AS$38.27 satu tong.

Ia meneruskan penurunan empat peratus harga minyak dunia Jumaat lalu apabila Arab Saudi berkata ia hanya akan menyertai usaha membekukan pengeluaran jika Iran turut berbuat demikian.

Tehran bagaimanapun enggan menyertai usaha terbabit setakat ini.

Menambah kepada kebimbangan lambakan global yang menyebabkan penurunan harga sehingga 70 peratus sejak 2014, pengeluaran di AS kekal tinggi walaupun cari gali rizab baharu berkurangan selain berlaku peningkatan kes muflis.

“Di AS, cari gali pengeluaran minyak susut 10 untuk menjadikan pelantar yang aktif sekarang ini hanya 362,” kata ANZ Bank.

Bagaimanapun pengeluaran di AS tetap tinggi di sebalik penurunan aktiviti cari gali dengan sembilan juta tong dihasilkan sehari dengan kes muflis hanya memberikan kesan kecil kepada output keseluruhan ketika pengeluar berdepan masalah membayar hutang serta terus beroperasi.