Harga minyak di Asia merosot

Harga minyak di Asia merosot

SINGAPURA, 14 Julai (AFP) – Harga minyak merosot lagi di Asia hari ini berdasarkan tanda-tanda satu perjanjian akan dicapai tidak lama lagi di antara Iran dan kuasa barat yang akan membenarkan minyak mentah Iran mengalir kembali ke pasaran global yang telah pun menjadi tepu.

Mata wang Amerika Syarikat (AS) yang kukuh telah menjadikan komoditi dengan harga dolar lebih mahal, sekali gus menjejas permintaan, kata penganalisis.

Minyak AS West Texas Intermediate untuk hantaran pada bulan Ogos merosot 46 sen kepada $51.74 dan minyak mentah Brent untuk Ogos merosot 32 sen kepada $57.53 dalam perniagaan Asia pada lewat pagi.

“Nampaknya satu perjanjian telah pun berada dalam peringkat terakhir untuk ditandatangani,” kata Daniel Ang, penganalisis pelaburan di Phillip Futures di Singapura, merujuk kepada rundingan berlarutan di antara Iran dan kuasa barat di Vienna.

“Ia mungkin isu terbesar untuk minggu ini untuk pasaran minyak,” beritahunya kepada AFP.

Rundingan di ibu negara Austria berlarutan sehingga awal pagi ini tatkala tanda-tanda muncul bahawa satu perjanjian hampir-hampir dimeterai.

Menteri-menteri luar negeri enam kuasa dijangka mengadakan mesyuarat terakhir pada pagi ini sebelum membuat pengumuman yang akan mengakhiri rundingan 18 hari untuk mencapai satu perjanjian.

Perjanjian berusaha mengawal apa yang disyaki oleh barat sebagai percubaan Iran untuk menghasilkan bom nuklear dan membawa kepada pembatalan sekatan ekonomi, yang telah melumpuhkan eksport minyak Tehran.

Penganalisis berkata pengembalian minyak mentah Iran di pasaran akan memburukkan bekalan berlebihan sekarang dan sekali gus menyebabkan harga meleset selanjutnya.

Menambah kepada tekanan teruk, dolar bertambah kukuh dalam perniagaan Asia berbanding yen dan euro selepas Greece mencapai satu perjanjian jaminan keluar baru untuk mengekalnya dalam zon euro, menjadikannya lebih mudah untuk Simpanan Persekutuan AS menambah kadar faedah.

Bank pusat bimbang untuk mengumumkan satu kenaikan sementara timbulnya kemungkinan Greece akan keluar daripada euro, yang sekali gus akan menjejas ekonomi global.

ARTIKEL YANG SAMA