Harga minyak kembali di atas AS$30

Harga minyak kembali di atas AS$30

SINGAPURA, 22 Feb (AFP) – Harga minyak berpulih di Asia hari ini selepas mencatat kemerosotan yang banyak dalam sesi sebelumnya, dengan minyak mentah AS kembali melebihi AS$30 satu tong tatkala peniaga memikirkan kesan pembekuan oleh pengeluar utama.

Minyak mentah naik mendadak pada minggu lalu selepas pengeksport utama mengadakan rundingan mengenai kemungkinan pemeteraian satu perjanjian untuk mengurangkan kemelesetan bekalan global yang telah mengheret harga ke tahap paling rendah mereka dalam hampir 13 tahun pada bulan ini.

Arab Saudi dan Rusia, pengeluar minyak mentah utama dunia, telah bersetuju untuk mengehadkan pengeluaran jika negara lain menyusuli tindakan yang diambil.

Namun minyak mentah terus merosot pada Jumaat kerana peniaga bimbang perjanjian tidak akan menambah momentum, dengan penganalisis mengingatkan bahawa Iraq dan Iran, yang sedang menambah pengeluaran selepas sekatan dibatalkan, tidak menunjukkan sokongan.

Simpanan stok minyak komersial baru di AS, pengguna minyak utama dunia, terus menambah tekanan.

Pada kira-kira 0630 GMT hari ini, minyak AS West Texas Intermediate (WTI) untuk hantaran pada Mac naik 41 sen, atau 1.38 peratus, pada AS$30.05. Minyak mentah Brent untuk April naik 38 sen, atau 1.15 peratus, kepada AS$33.39 satu tong.

Sanjeev Gupta, yang mengetuai firma minyak dan gas Asia Pasifik di EY, meramalkan harga minyak masih tertekan dan berkata beliau “tidak melihat sebarang kelegaan dalam bekalan berlebihan.”

Pasaran kini akan “mencari petunjuk mengenai prospek permintaan minyak mentah daripada data sektor pengeluaran dan perkhidmatan dari AS dan Eropah yang akan dikeluarkan pada minggu ini,” tambah beliau.

Namun, Capital Economics berkata walaupun jika rundingan pengeluar tidak membawa kepada pemeteraian perjanjian “mereka mungkin merupakan petanda pertama kerelaan untuk bertindak untuk mengelak harga daripada merosot seterusnya.”

“Satu pemulihan mampan mungkin memerlukan sesuatu lebih penting, namun untuk sekarang sekurang-kurangnya harga minyak nampaknya telah stabil,” katanya.