Harga minyak kembali naik, cecah AS$47.57

Harga minyak kembali naik, cecah AS$47.57

TOKYO, 17 Jun (Agensi) – Harga minyak mentah meningkat dalam dagangan awal Asia hari ini, buat kali pertama dalam tujuh hari apabila pasaran reda seketika daripada kebimbangan mengenai impak kemungkinan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 38 cents, atau 0.8 peratus pada AS$47.57 satu tong pada 0143 GMT selepas jatuh 3.6 peratus pada sesi sebelumnya.

Kontraknya dalam landasan untuk jatuh lebih daripada 5.5 peratus minggu ini.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate menokok 27 cents, atau 0.6 peratus pada AS$46.48.

Kontraknya jatuh 3.8 peratus pada sesi terdahulu dan harganya jatuh lebih daripada lima peratus setakat minggu ini.

Pound Britain meningkat daripada paras terendah dua bulan selepas kempen bagi undian Brexit minggu depan digantung susulan pembunuhan Ahli Parlimen United Kingdom (UK), Jo Cox, semalam.

Beliau adalah penyokong kuat supaya Britain kekal di dalam Kesatuan Eropah. Komoditi keseluruhannya turut mencatatkan kenaikan, manakala penanda aras saham termasuk Nikkei di Jepun juga meningkat.

“Kita perlu bersedia untuk suasana tidak menentu berikutnya,” kata penganalisis pasaran OptionsXpress di Sydney, Ben Le Brun.