Harga minyak kembali susut

Harga minyak kembali susut

SEOUL, 26 Jan – Dagangan hadapan minyak mentah AS kembali jatuh di bawah paras AS$30 satu tong di dagangan Asia pagi ini, melanjutkan kejatuhan hampir enam peratus yang dicatat pada sesi dagangan sebelumnya, di tengah-tengah laporan pengeluaran minyak Iraq mencecah paras tertinggi bulan lalu.

Minyak mentah AS jatuh 47 sen, atau 1.55 peratus, kepada AS$29.87 satu tong pada 2309 GMT selepas ditutup AS$1.85 pada AS$30.34 satu tong.

Penanda aras global Brent ditutup AS$1.68 lebih rendah kepada AS$30.50 satu tong pada sesi sebelumnya, 5.2 peratus di bawah harga penutup Jumaat.

Pengeluaran minyak Iraq mencecah paras tertinggi pada Disember, berikutan pengeluaran meningkat daripada lapangan minyak bahagian tengah dan selatan negara itu, kata jurucakap kementerian minyak Iraq semalam.

Minyak yang dicurahkan pada telapak tangan di padang minyak di rantau Kyzylorda, selatan Kazakhstan. – Reuters
Minyak yang dicurahkan pada telapak tangan di padang minyak di rantau Kyzylorda, selatan Kazakhstan. – Reuters

Sementara itu, Iraq berkemungkinan meningkatkan lagi pengeluaran tahun ini, mencecah paras sehingga empat juta tong sehari, kata pegawai kanan minyak Iraq.

Pegawai kanan OPEC dan industri minyak Russia memulakan rundingan pada Isnin bagi kemungkinan mengambil tindakan bersama mengatasi masalah lebihan bekalan yang terbesar itu, sementara Arab Saudi mengisyaratkan ia akan membenarkan pasaran membuat imbangan sendiri. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA