Harga minyak lemah ancaman mata wang Teluk Arab

Harga minyak lemah ancaman mata wang Teluk Arab

BANDAR KUWAIT, 6 Mac (AFP) – Harga minyak lemah menimbulkan satu ancaman kepada tambatan mata wang negara Teluk Arab berbanding dolar, tetapi rantau yang kaya dengan minyak itu tidak mungkin meninggalkan dasar mereka, kata penganalisis.

Bahrain, Omar, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu semuanya mengekalkan nilai mata wang mereka yang ditetapkan berbanding dolar, sementara Kuwait mempunyai hubungan dengan mata wang termasuk dolar. Namun keraguan semakin meningkat mengenai sama ada dasar tersebut masih dapat diterima.

Kemerosotan dalam harga minyak telah menjejaskan ekonomi enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada masa apabila ekonomi Amerika yang berpulih dan prospek kadar faedah AS yang lebih tinggi sedang merangsang dolar.

Untuk mengekal tambatan mata wang, semua anggota GCC kecuali Qatar menambah kadar faedah mereka pada Disember, menyusuli Simpanan Persekutuan AS, walaupun ekonomi mereka memerlukan keadaan sebaliknya.

Negara Teluk kini menghadapi dilema mengenai sama ada mengekal tambatan atau memilih rejim kadar tukaran yang fleksibel, membenarkan mata wang mereka merosot berbanding dolar.

“Mengekal tambatan adalah satu isu yang mahal. Bank pusat perlu rela membeli atau menjual mata wangnya dalam pasaran terbuka untuk mengekal tambatan, yang mungkin menghabiskan rizab foreks,” kata M. R. Raghu, ketua penyelidikan di Pusat Kewangan Kuwait.

“Eksport minyak, yang menyumbang kepada kira-kira 80 peratus daripada pendapatan kerajaan, telah merosot sebanyak 70 peratus sejak pertengahan 2014, sekaligus menjadikan tambatan mata wang mudah terjejas kerana ia mengurangkan simpanan tukaran asing,” beritahu Raghu kepada AFP.

ARTIKEL YANG SAMA