Harga minyak mentah AS kembali meningkat

Harga minyak mentah AS kembali meningkat

SINGAPURA, 6 Jan (Reuters) – Harga minyak dibuka lebih tinggi pagi ini, meningkat daripada paras terendah dalam masa 11 tahun pada sesi sebelumnya dengan kebimbangan terhadap pertambahan bekalan dan peningkatan paras simpanan mengatasi ketegangan antara negara pengeluar Asia Barat.

Pertelingkahan antara Arab Saudi dan Iran berikutan hukuman mati yang dikenakan ke atas ulama Syiah gagal meningkatkan harga minyak minggu ini, kerana ia dilihat menamatkan spekulasi bahawa anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan bersetuju mengurangkan pengeluaran bagi menaikkan harga.

Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) bagi penghantaran Februari berada 19 sen lebih tinggi pada AS$36.16 setong, selepas susut 79 sen dalam sesi terdahulu.

Harga minyak mentah meningkat 18 sen pada AS$36.60 setong, selepas ditutup turun 80 sen.

Sebuah kereta memasuki stesen minyak Shell di Woodbridge, Virginia. - AFP
Sebuah kereta memasuki stesen minyak Shell di Woodbridge, Virginia. – AFP

“Ketegangan geopolitik mewakili risiko peningkatan terbesar kepada pasaran minyak mentah, sekurang-kurangnya sepanjang separuh pertama tahun ini,” kata penganalisis pangkalan data tenaga Clipper Data, Matt Smith.

Begitupun, seorang pegawai kanan minyak Iran berkata negara itu mungkin mengurangkan pengeluaran minyak dan eksport sebaik saja sekatan Barat dihentikan bagi mengelak harga minyak terus berada di bawah tekanan.

“Kami tidak mahu memulakan perang harga,” kata Ketua Pengarah National Iranian Oil Company (NIOC), Mohsen Qamsari kepada Reuters dalam satu temubual.

Namun, kebimbangan terhadap paras simpanan yang bertambah meningkatkan lagi tekanan ke atas harga minyak, dengan inventori minyak mentah AS meningkat sebanyak 439,000 tong minggu lalu, menurut pungutan suara lapan penganalisis dibuat Reuters.