Harga minyak mentah cecah AS$50

Harga minyak mentah cecah AS$50

SINGAPURA, 17 Mei (AFP) – Minyak mentah Brent mencecah AS$50 satu tong di Asia hari ini, dirangsang oleh gangguan bekalan akibat kebakaran hutan Kanada dan serangan bersenjata ke atas kilang minyak di Nigeria.

Kebakaran hutan yang membakar sekitar pusat pasir minyak Fort McMurray di Alberta, Kanada, telahpun merebak ke utara, memaksa anggota bomba mengalih usaha mereka untuk melindungi kilang minyak sekarang.

Di Nigeria, pengeluar minyak mentah terbesar Afrika, tentera telah membuat beberapa penangkapan ekoran serangan ke atas kilang minyak luar pesisir tatkala kerajaan semalam bertindak untuk mengelak mogok pekerja berhubung harga petrol.

“Orang sedang mencari sebarang tanda-tanda yang mungkin mengesahkan bahawa bekalan sedang merosot, maka mana-mana berita bekalan elektrik yang terputus akan menarik perhatian pasaran,” kata penganalisis minyak dan gas BMI Research Peter Lee.

“Satu perubahan melebihi $50 dalam tempoh beberapa hari akan datang kemungkinan besar akan berlaku. Pada separuh tahun kedua, minyak mungkin bertahan di antara AS$45 hingga AS$50 satu tong,” beritahunya kepada AFP.

Satu laporan oleh syarikat perbankan AS Goldman Sachs telah meramalkan defisit bekalan jangka pendek disebabkan kekurangan pengeluaran, merujuk kepada gangguan di Nigeria dan Venezuela, yang dibelenggu dalam krisis politik.

Pada kira-kira 0600 GMT, minyak AS West Texas Intermediate (WTI) untuk hantaran Jun naik 62 sen, atau 1.3 peratus, kepada AS$48.34 satu tong.

Minyak Brent Nort Sea untuk hantaran pada Julai naik 41 sen, atau 0.84 peratus kepada AS$$9.38.

Harga telah berpulih sejak merosot kepada tahap rendah 13-tahun di bawah AS$30 pada Februari tetapi masih jauh lebih rendah daripada tahap kemuncak lebih AS$100 satu tong yang dicatat pada Jun 2014. Kali terakhir Brent mencecah AS$50 adalah pada awal November.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis berkata gangguan adalah bersifat sementara dan mendapati pasaran masih mempunyai bekalan berlebihan.