Harga minyak merosot di Asia

Harga minyak merosot di Asia

SINGAPURA, 5 Julai – Harga minyak merosot di Asia hari ini, dengan Brent merosot di bawah AS$50 disebabkan berita pertambahan pengeluaran dari Nigeria ekoran kerja-kerja membaiki infrastruktur yang rosak dalam serangan militan.

Bloomberg News melaporkan hari ini bahawa pengeluar minyak terbesar Afrika mengepam kira-kira 1.53 juta tong sehari pada bulan lalu, meningkat kira-kira 90,000 sehari dari Mei.

Menteri negeri Nigeria untuk sumber petroleum, Emmanuel Kachikwu, berkata pada bulan lalu bahawa satu gencatan senjata dengan pemberontak telah membenarkan kerajaan membaiki saluran paip minyak yang rosak, lapor Bloomberg.

Pada kira-kira 0620 GMT, minyak AS West Texas Intermediate untuk hantaran Ogos merosot AS$0.82 sen, atau 1.67 peratus, kepada AS$48.17 dan minyak mentah Brent untuk September merosot 55 sen, atau 1.10 peratus, kepada AS$49.55 satu tong.

“Harga minyak sedang merosot disebabkan oleh kebimbangan gangguan bekalan, tatkala pasaran bertindak terhadap berita yang mengatakan pengeluaran minyak Nigeria telah meningkat,” beritahu penganalisis IG Markets Bernard Aw kepada AFP.

“Namun, harga minyak masih stabil pada harga AS$50. Ia akan diterima oleh sektor minyak.”

Meskipun pertambahan dalam pengeluaran, serangan yang berterusan ke atas saluran paip minyak Nigeria telah menekankan ketidakstabilan keadaan di negara.

Kumpulan militan Niger Delta Avengers pada Ahad mendakwa bertanggungjawab terhadap lima serangan ke atas infrastruktur minyak dan gas negara.

The Avengers sedang bertempur untuk mendapatkan bahagian pendapatan minyak mentah dan autonomi politik yang lebih besar.

Bank Britain Barclays berkata harga juga akan menerima tekanan daripada kesan pengundian Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya. – AFP