Harga minyak naik

Harga minyak naik

SINGAPURA, 28 Mac (AFP) – Harga minyak naik di Asia hari ini, pulih sedikit daripada kemerosotan pada minggu lalu, tetapi penganalisis berkata peniaga mungkin menangguhkan sebarang tindakan besar sehingga mesyuarat pengeluar utama pada bulan depan.

Harapan untuk mencapai perjanjian di antara Rusia, Arab Saudi dan pengeluar minyak mentah lain untuk membeku pengeluaran menyebabkan kedua-dua kontrak utama meningkat melebihi $40 pada awal bulan ini, dibantu oleh kemerosotan dalam kekuatan dolar.

Bagaimanapun, beberapa pemerolehan berkenaan dihapus pada minggu lalu tatkala desas-desus mengenai kenaikan kadar faedah AS menyebabkan dolar meningkat – menjadikan minyak lebih mahal – dan satu laporan menunjukkan satu lagi pertambahan dalam simpanan stok minyak mentah AS.

Pada kira-kira 0620 GMT, minyak AS West Texas Intermediate naik 50 sen, atau 1.27 peratus, kepada AS$39.96. Brent naik 45 sen, atau 1.11 peratus, pada AS$40.89.

Anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan anggota yang dipimpin oleh Rusia dijangka membincang satu pembekuan pengeluaran pada satu mesyuarat di Doha pada 17 April.

ARTIKEL YANG SAMA