Harga minyak naik dalam dagangan Asia

Harga minyak naik dalam dagangan Asia

SINGAPURA, 15 Julai – Harga minyak meningkat di Asia hari ini disebabkan kebimbangan yang berkurangan mengenai kesan aliran bekalan Iran di pasaran global selepas pemeteraian perjanjian nuklear negara. Minyak AS West Texas Intermediate untuk hantaran pada bulan Ogos naik 26 sen kepada $53.29 dan minyak mentah Brent untuk Ogos meningkat 10 sen kepada $58.61 satu tong dalam perniagaan lewat pagi.

Harga minyak pada mulanya merosot semalam selepas perunding dari Iran dan kuasa dunia besar mengumumkan mereka telah mencapai satu perjanjian untuk mengawasi program nuklear Tehran, yang dikatakan oleh Barat akan mengawal usahanya untuk menghasilkan bom nuklear.

Kepatuhan Iran dengan syarat-syarat perjanjian akan membawa kepada pembatalan sekatan ekonomi barat yang telah menjejas eksport utama minyak.

Namun harga akhirnya mencecah tahap lebih tinggi semalam memandangkan pelabur berasa yakin ia akan mengambil masa untuk Iran mengeksport lebih banyak minyak mentah ke pasaran yang telah pun dibanjiri dengan bekalan.

“Sekatan minyak dan kewangan Iran akan dibatalkan dengan pemeteraian satu perjanjian program nuklear pada 14 Julai, tetapi pasaran tidak akan melihat lebih banyak pengeluaran minyak mentah dalam masa terdekat ini,” kata pembekal maklumat tenaga global Platts dalam satu komentar di laman webnya.

“Pasaran mungkin tidak akan melihat pertambahan dalam bekalan minyak mentah Iran sehingga tahun depan,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA