Harga minyak naik di Asia

Harga minyak naik di Asia

SINGAPURA, 2 Okt (AFP) – Harga minyak naik di Asia hari ini sebelum pengeluaran laporan pekerjaan AS dan tatkala ribut mengancam kilang penapis di pantai timur AS.

Data pekerjaan untuk September, dijangka dikeluarkan hari ini, adalah penting disebabkan peningkatan dalam pasaran pekerja merupakan faktor utama untuk menyokong pelan Simpanan Persekutuan untuk menambah kadar faedah hampir sifarnya, kata penganalisis.

Satu pertambahan kadar akan menyokong dolar AS yang akan menjadikan minyak yang dikenakan harga dolar lebih mahal berbanding mata wang lebih lemah, sekaligus menjejas permintaan dan menjadikan harga meleset.

Dalam perniagaan di Asia pada tengah hari, minyak AS West Texas Intermediate (WTI) untuk hantaran pada bulan November naik 45 sen kepada AS$45.19 dan minyak mentah Brent North Sea untuk November naik 25 sen kepada AS$47.94 satu tong.

Kedua-dua kontrak berakhir lebih rendah selepas sesi perniagaan yang turun naik semalam.

Penganalisis menjangka laporan pekerjaan akan menunjukkan ekonomi AS menambah 205,000 pekerjaan pada September dan kadar pengangguran tidak berubah pada 5.1 peratus, tahap rendah tujuh tahun.

Peniaga juga mengawasi sama ada Taufan Joaquin akan berubah haluan dan mengancam kilang penapis minyak dan kemudahan simpanan di pantai timur AS.

“Kami menjangka melihat peniaga bersedia sekiranya taufan berubah haluan pada hujung minggu. Ia kemungkinan besar akan menambah harga minyak,” kata Daniel Ang, penganalisis pelaburan dengan Phillip Futures di Singapura.

Kemelesetan dalam ekonomi China juga menimbulkan kebimbangan untuk pasaran minyak tetapi penganalisis berkata satu kemerosotan mendadak tidak mungkin berlaku.

“Kebanyakan kebimbangan terbaru adalah dicetuskan oleh kejatuhan dalam pasaran ekuiti China, namun ia adalah perpecahan gelembung dan tidak memberitahu kami apa-apa mengenai peralihan dalam ekonomi sebenar,” kata firma penyelidikan Capital Economics.

ARTIKEL YANG SAMA