Harga minyak pulih dari kerugian

Harga minyak pulih dari kerugian

SINGAPURA, 5 Sept – Harga minyak pulih daripada kerugian awal hari ini tetapi peniaga bertindak berhati-hati selepas Rusia dan Arab Saudi mengakhiri satu mesyuarat untuk menstabilkan pasaran minyak mentah tetapi tidak memberikan butir-butir lanjut.

Presiden Vladimir Putin bertemu dengan Timbalan Putera Mahkota Mohammed bin Salman mengenai isu sampingan G20 di China semalam dan berkata mereka akan bekerjasama untuk mengatasi kemelesetan global dan pengeluaran berlebihan yang telah menjejas harga sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka tidak memberikan maklumat mengenai cara mereka akan mengatasinya, beberapa minggu sebelum Moscow dan kartel minyak mentah OPEC bertemu di Algeria untuk membincang krisis yang dihadapi.

Setelah kemerosotan mendadak dalam perniagaan awal, minyak mentah Brent naik empat sen pada AS$46.87 pada kira-kira 0650 GMT sementara minyak AS West Texas Intermediate merosot lima sen pada AS$44.39.

Komen daripada menteri kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati di CNBC bahawa beliau berasa “selesa” dengan harga minyak mentah pada AS$40-AS$45 satu tong, juga telah menambah tekanan ke atas komoditi. Satu-satunya anggota OPEC Asia, Indonesia mengeksport petroleum bernilai AS$6.4 bilion pada 2015.

Kedua-dua kontrak berpulih tiga peratus pada Jumaat selepas Putin berkata Rusia dan negara pengeluar lain harus membeku pengeluaran untuk menstabilkan harga yang turun naik. Rusia dan OPEC bersama mengeluarkan separuh daripada minyak dunia.

Pasaran minyak telah dibelenggu kemelesetan bekalan yang melihat harga merosot kepada tahap rendah 13-tahun di bawah AS$30 satu tong pada awal 2016, dan sementara ia telah berpulih baru-baru ini, ia masih di bawah tahap tinggi lebih AS$100 yang dilihat pada pertengahan 2014. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA