Harga minyak pulih di Asia

Harga minyak pulih di Asia

SINGAPURA, 3 Mei (AFP) – Harga minyak pulih di Asia hari ini tetapi kebimbangan berlarutan mengenai bekalan berlebihan menyebabkan mereka kekal di bawah tahap tinggi 2016 selepas data menunjukkan Iran dan Iraq sedang menambah pengeluaran.

Komoditi itu telah berpulih selama empat minggu berturut-turut disebabkan dolar yang lebih lemah dan harapan ekonomi dunia akan berubah beransur-ansur untuk mencatat keputusan positif.

Bagaimanapun, ia merosot semalam selepas angka menunjukkan eksport Iraq mencecah 3.36 juta tong sehari pada April sementara pengeluaran Iran pada bulan itu mencecah 3.5 juta tong sehari, paling banyak sejak Disember 2011.

Menambah kepada kebimbangan permintaan, data menunjukkan aktiviti kilang di ekonomi nombor dua dunia China menjadi perlahan pada April, sekaligus membawa kepada kebimbangan bahawa beberapa siri petunjuk positif terbaru mungkin merupakan satu gangguan.

Pada kira-kira 0700 GMT, minyak AS West Texas Intermediate untuk hantaran pada Jun naik 43 sen, atau 0.96 peratus, pada AS$45.21 dan minyak mentah Brent untuk Julai naik 46 sen, atau 1.00 peratus, kepada AS$46.29.

“Pada asasnya, tidak adanya perubahan dalam imbangan bekalan dan permintaan. Pada hakikatnya, keadaan nampaknya semakin teruk,” kata Bernard Aw, penganalisis di IG Markets di Singapura.

Beliau berkata sementara pemulihan baru-baru ini nampaknya “kukuh,” adalah satu cabaran untuk harga kembali kepada AS$50 satu tong melainkan Pertubuhan Negara Pengeksport Pteroleum mengambil tindakan kukuh untuk mengurangkan bekalan berlebihan pada mesyuarat bulan depan.