Harga minyak rendah di Asia

Harga minyak rendah di Asia

SINGAPURA, 20 Julai – Harga minyak jatuh di Asia hari ini di sebalik dolar yang lebih kukuh dan kebimbangan lebihan bekalan akan semakin teruk ekoran perjanjian bersejarah yang akan membolehkan Iran menambah eksport minyak mentahnya.

Tanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Ogos jatuh 26 sen kepada $50.63 dan minyak mentah Brent bagi September jatuh 20 sen kepada $56.90 setong dalam dagangan tengah hari.

Dolar kukuh di Asia hari ini dengan para pelabur menumpu pada masa peningkatan kadar faedah AS selepas Greece yang dibebani hutang telah mencapai perjanjian jaminan dengan para pemiutang.

Dalam dagangan sebelah tengah hari, dolar naik berbanding yen Jepun dan euro, sementara juga mengatasi mata wang utama Asia Pasifik lain.

Mata wang AS yang kukuh mengakibatkan minyak dengan harga dolar, lebih mahal, menjejaskan permintaan dan mengakibatkan harga lebih rendah.

Kebimbangan tentang kembalinya minyak Iran ke pasaran antarabangsa menambah tekanan ke atas harga.

Minggu lalu, WTI jatuh 4.0 peratus dan Brent turun 3.0 peratus selepas Iran dan enam kuasa dunia bersetuju dengan perjanjian yang mengekang program nuklear Tehran yang bertujuan mencegahnya membina bom nuklear.

Sebagai balasannya, pihak barat akan menarik balik sekatan ekonomi yang menjejaskan dan membenarkan Iran menambah eksport minyak mentah dalam pasaran yang telah pun kebanjiran bekalan.

“Meskipun perjanjian bersejarah antara Iran dan enam kuasa besar akan menambah bekalan minyak mentah hanya dalam tempoh sederhana, harga minyak akan terus lemah dalam tempoh dekat ketika Iran mula mengeluarkan minyak mentah dan hasil kondensasi yang akan terus mengapungkan simpanannya,” kata Sanjeev Gupta, yang mengetuai praktik Minyak dan Gas Asia Pasifik di pertubuhan perkhidmatan profesional, EY. – AFP