Harga minyak rendah tidak beri kesan ekonomi UAE

Harga minyak rendah tidak beri kesan ekonomi UAE

ABU DHABI, 4 April (Bernama) – Kejatuhan harga minyak dunia menyebabkan negara pengeksportnya berdepan cabaran, bagaimanapun keadaan itu tidak memberi kesan kepada ekonomi Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut agensi berita Emiriah Arab Bersatu (WAM) keadaan itu ekoran pendekatan kepelbagaian polisi ekonomi yang diguna pakai UAE. Menteri Tenaga UAE Suhail Mohammed Faraj Faris Al Mazrouei berkata demikian, semasa mempengerusikan Mesyuarat Petugas Khas UAE dan Rusia di St Petersburg.

Mesyuarat bertujuan meneroka prospek kerjasama bersama dan pelaburan, Abu Dhabi menjadi tuan rumah pertama mesyuarat pada November 2015.

Timbalan Menteri Pembangunan Ekonomi Rusia Alexander Tsybulskiy yang mengetuai delegasi negaranya pada mesyuarat itu berkata mesyuarat turut membincangkan variasi ekonomi dan isu pelaburan kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak turut mengakui akan kepentingan meluaskan skop kerjasama serantau termasuk peluang pelaburan.

“Kita telah berbincang dengan pihak Rusia sekaligus membolehkan kita meneruskan beberapa hubungan kerjasama dua hala untuk faedah bersama, kerjasama serantau, faedah peluang pelaburan dan kerjasama ekonomi,” kata menteri UAE.

Sementara Menteri Rusia berkata mesyuarat itu sangat “membina dan bermakna”, mesyuarat berterusan seumpamanya menunjukkan pentingnya kerjasama rapat untuk berdepan isu berhubung cabaran dan peluang di rantau dan dunia khususnya.

Pada mesyuarat itu kedua-dua pihak turut mengakui keperluan mengenal pasti beberapa projek yang berpotensi untuk dilaksana di zon ekonomi pada fasa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA