Harga minyak semakin pulih

Harga minyak semakin pulih

SINGAPURA, 18 Feb (AFP) – Harga minyak melanjutkan pemerolehan di Asia hari ini tatkala peniaga mengalu-alukan komen daripada menteri minyak Iran yang memuji perjanjian bersyarat di antara Arab Saudi dan Rusia untuk membekukan jumlah pengeluaran, sekali gus menyemarakkan harapan wujudnya kestabilan dalam pasaran komoditi.

Bijan Zanganeh berkata Tehran akan “menyokong mana-mana langkah yang boleh menstabilkan pasaran dan menambah harga” tetapi tidak berkata Iran akan komited dengan mana-mana kawalan.

Kata-kata beliau keluar selepas beliau bertemu dengan rakan sejawatan Iraq, Venezuela dan Qatar di Tehran semalam di mana mereka mengadakan rundingan mereka sendiri mengenai krisis bekalan global.

Pada Selasa, Arab Saudi dan Rusia, dua pengeluar terbesar di dunia, bersetuju untuk mengehadkan pengeluaran mereka tetapi hanya jika negara lain mengikut jejak langkah mereka.

Sementara pengurangan pengeluaran belum diumumkan, peniaga menganggap perkembangan terbaru sebagai satu langkah dalam haluan betul dan memberikan satu kelegaan selepas minyak mentah mencecah tahap rendah 13-tahun pada minggu lalu.

Pada kira-kira 0700 GMT, minyak AS West Texas Intermediate untuk hantaran pada bulan Mac naik 50 sen, atau 1.63 peratus, pada AS$31.16 dan minyak mentah Brent untuk April meningkat 25 sen, atau 0.72 peratus, kepada AS$34.75 satu tong.

Semalam, WTI meningkat lebih tujuh peratus sementara Brent menambah 5.6 peratus.

“Harga naik mendadak selepas pengumuman pembekuan tetapi pemerolehan dikurangkan memandangkan pasaran bimbang perjanjian sementara itu tidak diterima, terutamanya dari Iran, yang dijangka menambah pengeluaran kepada jumlah sebelum sekatan dikenakan,” kata Sanjeev Gupta, yang mengetuai firma minyak dan gas Asia Tenggara EY.

“Bagaimanapun, satu kenyataan daripada menteri minyak Iran memulihkan kembali harga.”

ARTIKEL YANG SAMA