Harga minyak semakin pulih

Harga minyak semakin pulih

SINGAPURA, 4 Feb – Harga minyak melanjutkan pemulihannya di Asia hari ini, dirangsang oleh dolar yang lebih lemah, pembelian tawar-menawar dan spekulasi baru tentang kemungkinan pemotongan pengeluaran oleh kumpulan pengeluar OPEC.

Peniaga mengetepikan data positif yang menunjukkan satu lagi pertambahan dalam inventori minyak mentah komersial AS, tetapi penganalisis berkata mana-mana pemulihan dalam pasaran yang dipenuhi dengan tong minyak pastinya tidak bertahan lama.

Pada kira-kira 0300 GMT, minyak AS West Texas Intermediate untuk hantaran pada bulan Mac naik 36 sen, atau 1.12 peratus, kepada $32.64 dan minyak mentah Brent untuk April diniagakan lebih tinggi sebanyak 29 sen, atau 0.83 peratus, pada $35.33. Kedua-dua kontrak ditutup lebih tinggi semalam.

Jabatan Tenaga AS berkata semalam simpanan stok minyak mentah komersial di negara pengguna minyak utama dunia meningkat sebanyak 7.8 juta tong dalam minggu berakhir 29 Januari.

Ia adalah dua kali ganda lebih daripada jangkaan pasaran dan membawa jumlah inventori minyak mentah kepada 502.7 juta, mencecah 500 juta tong untuk kali pertama, sekali gus memburukkan lagi kebimbangan pasaran mengenai kemelesetan global yang telah menyebabkan harga meleset selama hampir dua tahun.

Daniel Ang, penganalisis dengan Phillip Futures di Singapura, berkata harga pada mulanya merosot disebabkan pertambahan inventori, tetapi pemburu tawar-menawar bertindak tatkala harga menjadi lemah, sekali gus mengubah trend.

Minyak diniaga dalam dolar, maka satu kelemahan mata wang AS menjadikan minyak mentah lebih murah untuk pemegang unit lain, sekali gus menambah permintaan.

“Apabila minyak menjadi lebih murah, pembelian diskaun bermula, mendesak harga lebih tinggi. Maka anda melihat pembentukan momentum positif,” beritahu Ang kepada AFP. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA