Harga minyak terus jatuh

Harga minyak terus jatuh

SINGAPURA, 20 Jan – Dagangan hadapan minyak mentah jatuh lagi pada awal dagangan di Asia pagi ini, dengan harga minyak mentah AS jatuh ke paras terendah sejak September 2003 di bawah AS$28 setong disebabkan kebimbangan terlalu banyak bekalan dalam pasaran.

Ia berlaku susulan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), yang menasihati negara perindustrian berhubung dasar tenaga, semalam memberi amaran bahawa pasaran minyak berkemungkinan “lemas dalam lebihan bekalan.”

Dagangan hadapan minyak mentah AS diniagakan 46 sen lebih rendah pada AS$28 satu tong pada pagi ini, selepas jatuh kepada AS$27.92 pada sesi dagangan sebelum ini, paras terendah baharu sejak September 2003.

Kontrak itu ditutup 96 sen lebih rendah atau 3.26 peratus dalam sesi sebelumnya. Dagangan hadapan Brent jatuh 19 sen kepada AS$28.57 satu tong selepas ditutup naik 21 sen, atau 0.7 peratus, dalam sesi sebelumnya.

Pam galian minyak berfungsi di Sweetwater, Texas. - AFP
Pam galian minyak berfungsi di Sweetwater, Texas. – AFP

Ia berlegar menghampiri paras terendah 12 tahun. “Harga minyak kini di paras yang mana negara OPEC sedang bertungkus lumus. Mereka menjual minyak bagi aliran tunai bukan untuk keuntungan,” kata Jonathan Barratt, ketua pegawai kewangan di Ayers Alliance, Sydney.

“Pengeluar AS terus bertahan, tetapi saya kira mereka juga parah,” katanya. “Melihat pada harga semasa, pengeluar minyak akan merancang sesuatu bagi menolak naik harga.”

Simpanan minyak mentah komersial dan gasolin AS diunjurkan naik sebanyak tiga juta tong kepada 485.6 juta tong minggu lalu, demikian menurut kaji selidik awal Reuters.

Data simpanan daripada kumpulan industri American Petroleum Institute (API) akan disiarkan lewat hari ini, manakala angka rasmi Jabatan Tenaga AS akan dikeluarkan khamis esok. – Reuters