Harga minyak tinggi di Asia

Harga minyak tinggi di Asia

SINGAPURA, 6 Mei (AFP) – Harga minyak melanjutkan pemerolehan di Asia untuk diniagakan pada tahap tinggi 2015 hari ini tatkala ketegangan baru di Libya menimbulkan kebimbangan mengenai satu gangguan bekalan di Timur Tengah, kata penganalisis.

Minyak AS West Texas Intermediate untuk hantaran pada bulan Jun meningkat 87 sen kepada $61.27, sementara minyak mentah Brent untuk hantaran Jun naik 63 sen kepada $68.15 dalam perniagaan pada pagi.

WTI meningkat $1.47 di New York sementara Brent naik $1.12 di London. Kedua-duanya berakhir pada tahap yang tidak dilihat sejak awal Disember.

“Kebimbangan geopolitik di Timur Tengah terus membentuk asas yang kukuh untuk harga minyak, sama ada dari Libya, Yaman atau Iraq,” beritahu Nicholas Teo, penganalisis pasran di CMC Markets di Singapura, kepada AFP.

Laporan media semalam berkata bantahan di Libya telah menutup hantaran minyak ke sebuah pelabuhan di kawasan timur negara Afrika Utara itu.

Pertempuran sejak 2011 di negeri Afrika Utara, anggota kartel pengeluaran minyak OPEC, telah melihat pengeluaran dikurangkan daripada 1.5 juta tong sehari kepada kira-kira 150,000 sehari, menurut penganalisis.

Harga minyak dalam beberapa minggu ini juga menerima sokongan disebabkan persengketaan berterusan di Yaman, di mana pantainya membentuk satu bahagian Selat Bab el-Mandeb dan di mana 4.7 juta tong minyak melaluinya setiap hari. Penganalisis berkata peniaga sedang menunggu simpanan stok minyak mentah terbaru AS untuk petunjuk mengenai keadaan pengeluaran di negara pengguna minyak mentah utama dunia.

Harga minyak naik pada minggu lalu selepas laporan inventori Jabatan Tenaga AS menunjukkan kemerosotan 500,000 tong dalam stok petroleum kepada 61.7 juta tong di pusat perniagaan Cushing, Oklahoma, kemerosotan pertama sedemikian sejak akhir November.

Peniaga menganggap kemerosotan sebagai tanda-tanda pengeluar sedang mengurangkan pengeluaran di tapak petroleum AS, sekaligus menambah harapan ia mungkin membuka laluan untuk meredakan kemelut bekalan global.

Pada keseluruhannya, inventori minyak mentah AS mungkin meningkat sebanyak 1.5 juta tong sehingga 1 Mei, menurut satu tinjauan Bloomberg News.

ARTIKEL YANG SAMA