Harga minyak WTI stabil

Harga minyak WTI stabil

SINGAPURA, 21 Jan – Harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS) stabil pada awal dagangan di Asia hari ini selepas mencecah paras terendah baharu sejak 2003 pada sesi sebelumnya, tetapi penganalisis berkata lebihan bekalan global yang berterusan akan terus memberi tekanan kepada pasaran.

Kontrak hadapan minyak mentah AS jatuh di bawah paras AS$27 setong semalam untuk kali pertama sejak 2003, terperangkap dalam kejatuhan meluas pasaran kewangan dunia kerana peniaga bimbang bahawa lebihan bekalan minyak mentah yang tinggi adalah berikutan kelemahan ekonomi, khususnya di China.

Pada awal dagangan hari ini, harga minyak stabil, dengan kontrak semasa West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada paras AS$28.70 setong pada 0021 GMT.

Ia adalah meningkat lebih AS$2 melepasi paras penutup sebelumnya, meskipun peniaga berkata peningkatan itu mengelirukan pergerakan berlebihan harga kontrak itu semalaman.

Satu kawasan pam minyak lama di bandar minyak Odessa, Texas. - AFP
Satu kawasan pam minyak lama di bandar minyak Odessa, Texas. – AFP

Sentimen pasaran secara meluas masih lemah kerana pengeluar di dunia mengeluarkan satu hingga dua juta tong minyak mentah setiap hari melebihi permintaan, sekali gus mewujudkan simpanan tidak terjual yang tinggi.

“Kami percaya harga mungkin mengalami tekanan yang lebih selepas pengumuman perangkaan inventori oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS,” kata bank ANZ hari ini.

EIA dijangka mengeluarkan perangkaan rasmi perangkaan penyimpanan hari ini. – Reuters