Harga pengguna India meningkat

Harga pengguna India meningkat

NEW DELHI, 14 Jun (AFP) – Harga pengguna India meningkat lebih cepat daripada dijangka pada Mei disebabkan kos makanan yang lebih tinggi, angka rasmi menunjukkan semalam, yang mungkin mendorong bank pusat menangguhkan pengurangan kadar faedah.

Kadar inflasi meningkat kepada 5.76 peratus berbanding setahun sebelumnya, lebih tinggi daripada 4.8 peratus yang dicatat pada Mac dan 5.4 peratus pada April, lapor kementerian statistik.

Pertambahan kebanyakannya didorong oleh harga makanan yang lebih tinggi, kata ahli ekonomi, selepas dua kemarau. Satu tinjauan ke atas 28 ahli ekonomi oleh Bloomberg telah meramalkan kadar inflasi Mei akan mencecah 5.6 peratus.

“Pertambahan dalam inflasi di India baru-baru ini adalah disebabkan harga makanan yang lebih tinggi, bukannya pertambahan dalam tekanan inflasi keseluruhan,” kata ahli ekonomi antarabangsa senior di Kumpulan Perkhidmatan Kewangan PNC, Bill Adams dalam satu kenyataan.

“Namun, Bank Simpanan India mungkin menangguhkan kadar faedah untuk tahun 2016 selepas pemotongan 25 mata asas dalam kadar repo kepada 6.5 peratus pada 5 April,” tambah Adams.

Gabernor bank pusat, Raghuram Rajan, yang telah menjadikan pengawalan harga yang tinggi di India satu dasar utama, telah menetapkan matlamat jangka sederhana untuk mengehadkan inflasi kepada lima peratus pada Mac 2017.

ARTIKEL YANG SAMA