Harga rendah punca kualiti kredit merosot: Moody’s

Harga rendah punca kualiti kredit merosot: Moody’s

SINGAPURA, 7 Okt (Bernama) – Moody’s Investors Service berkata, kualiti kredit pengeluar minyak sawit di Asia semakin merosot kerana lebihan bekalan melemahkan harga minyak sawit mentah (MSM) dan menghalang usaha pembayaran balik hutang.

Analisis Moody’s itu terkandung dalam edisi terbaru ‘Inside ASEAN’ oleh Alan Greene, Naib Presiden, pegawai kredit kanan dan penganalisis Moody’s terkemuka mengenai pengeluar minyak sawit Asia.

Greene mendapati, purata harga MSM jatuh lebih 30 peratus kepada RM2,191 satu tan metrik pada suku kedua 2015 berbanding suku kedua 2012 dan memurata RM2,067 satu tan metrik pada Julai/Ogos.

“Kami menjangka harga MSM akan terus menghadapi tekanan dalam tempoh 18 bulan akan datang, dengan lebihan bekalan pasaran minyak sayuran dan permintaan yang lembab.

Harga yang lebih rendah melembabkan penjanaan tunai sebagaimana dicerminkan dalam tindakan penarafan negatif ke atas tiga syarikat minyak sawit, iaitu Golden Agri-Resources Ltd (Ba3 negatif), Sime Darby Berhad (A3 negatif) dan IOI Corporation Bhd (Baa2 negatif), kata agensi penarafan berkenaan.

Moody’s berkata, penyusutan ringgit menandakan kemerosotan hasil eksport, pengaliran keluar modal serta sentimen semakin lemah terhadap Malaysia.

Bagaimanapun, agensi penarafan itu menjangka kesan langsung penyusutan ringgit boleh diurus berikutan kadar hutang Malaysia yang rendah dalam mata wang asing.

Katanya, Malaysia dan Indonesia akan terus terjejas dalam kejatuhan harga komoditi kerana mereka adalah pengeksport bersih minyak dan logam.

Berikutan permintaan yang lebih lemah dari China, yang kekal sebagai ekonomi kedua terbesar dunia, digabung dengan kelembapan di Eropah dan Jepun (A1 stabil), akan memberi tekanan kepada eksport dari ASEAN, kata Moody’s.

ARTIKEL YANG SAMA