Harga saham Hanjin melonjak naik

Harga saham Hanjin melonjak naik

SEOUL, 22 Sept – Pemegang saham terbesar dalam Hanjin Shipping di Korea Selatan telah bersetuju untuk memberikan pinjaman kecemasan kepada firma itu, menyebabkan harga sahamnya meningkat kira-kira 30 peratus hari ini.

Firma perkapalan ketujuh terbesar di dunia itu berusaha mendapatkan perlindungan kemuflisan di negara sendiri dan di AS selepas pemiutang enggan membantu firma berkenaan, yang dibebani hutang berjumlah AS$5.37 bilion.

Lembaga Korean Air meluluskan pinjaman berjumlah 60 bilion won lewat semalam – sebahagian daripada dana kecemasan 100 bilion won yang dijanjikan sebelumnya oleh Kumpulan Hanjin, konglomerat yang mempunyai Hanjin Shipping dan Korean Air di bawah kawalannya.

Sebelum itu, lembaga enggan meluluskan dana untuk firma bermasalah tersebut, memetik kesukaran dalam mendapatkan kolateral daripada syarikat. “Lembaga bersetuju untuk meminjam wang kepada Hanjin Shipping, membawa akaun belum terima Hanjin Shipping sebagai kolateral,” beritahu jurucakap Korean Air kepada AFP.

Hanjin, di mana kemuflisannya telah mencetuskan krisis di seluruh dunia, sedang melihat hutang termasuk bayaran sewa meningkat setiap hari, dengan kebanyakan kapal terkandas di laut. Ia memohon kuasa penerima mahkamah pada awal bulan ini selepas pemiutangnya menolak pelan menyelamat syarikat berjumlah 500 bilion won.

Gambar fail 10 September 2016 menunjukkan bot tunda menarik kapal kontena Hanjin Greece selepas berlabuh untuk dipunggah di Pelabuhan Long Beach, California. – AFP
Gambar fail 10 September 2016 menunjukkan bot tunda menarik kapal kontena Hanjin Greece selepas berlabuh untuk dipunggah di Pelabuhan Long Beach, California. – AFP

Untuk mengawal kekacauan yang meningkat dalam perkapalan global, Kumpulan Hanjin telah berjanji sebelumnya untuk menawarkan 100 bilion won kepada firma berkenaan – dengan 40 bilion won ditawarkan secara peribadi oleh pengerusi kumpulan Cho Yang-Ho.

Harga saham merosot 21 peratus semalam selepas berita mengatakan mahkamah Seoul telah mengingatkan firma perkapalan ia mesti menghadapi dan mengatasi hutang yang meningkat setiap hari atau menghadapi kemuflisan.

Namun berita pinjaman menyebabkannya meningkat 29.6 peratus kepada 1,160 won dalam perniagaan awal hari ini, sementara Korean Air naik 5.9 peratus kepada 34,100 won.

Tatkala ramai pelanggan membatal kontrak perkapalan dan operator dok enggan mengendali kargo untuk firma bermasalah itu, mahkamah Seoul pada Isnin memberitahu Hanjin supaya mengembalikan kapal sewanya untuk menjimat bayaran sewa. – AFP