Harga saham SG dijangka turun 15%

Harga saham SG dijangka turun 15%

SINGAPURA, 25 Dis (BHS)– Harga saham Singapura dijangka susut 15 peratus tahun ini, dan prospek pertumbuhan dijangka lemah tahun depan, menurut firma-firma pengurusan aset dan beberapa penganalisis.

Jika ia menjadi kenyataan, ia merupakan satu perubahan trend setelah Indeks Straits Times (STI) meningkat 6.2 peratus sepanjang tahun lalu hingga mencecah 3,365.15 mata pada hari dagangan terakhir tahun lalu.

STI naik 0.5 peratus atau 13.97 mata mencapai 2,877.62 mata, kelmarin. Hari terakhir dagangan saham tahun ini ialah Khamis depan.

Tahun ini, pasaran saham terjejas ekoran penurunan nilai yuan China dan jangkaan kadar faedah meningkat.

Seorang pengurus di Baring, Lim Soo Hai dipetik sebagai berkata, walaupun beberapa nilai saham yang baik boleh wujud jika harga saham susut lagi 10 peratus, tidak banyak faktor menarik yang dinantikan mengenai Singapura ketika ini.

Orang ramai ketika mengunjungi struktur Gardens by the Bay di Singapura pada gambar fail 14 Disember. Harga saham Singapura dijangka susut 15 peratus tahun ini, dan prospek pertumbuhan dijangka lemah tahun depan, menurut firma-firma pengurusan aset dan beberapa penganalisis. – Reuters
Orang ramai ketika mengunjungi struktur Gardens by the Bay di Singapura pada gambar fail 14 Disember. Harga saham Singapura dijangka susut 15 peratus tahun ini, dan prospek pertumbuhan dijangka lemah tahun depan, menurut firma-firma pengurusan aset dan beberapa penganalisis. – Reuters

“Harga penilaian yang rendah bagi saham bukan sebab yang mencukupi untuk memastikan saham-saham dapat menunjukkan prestasi yang diinginkan.

“Prospek pertumbuhan lemah bagi tahun depan,” ujarnya.

Indeks Singapura MSCI didagangkan 1.1 kali daripada nilai aset bersih syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Singapura, berbanding dua kali bagi ekuiti sejagat.

Jurang kedua-dua indeks itu meningkat sejak Mei 2003.

Pakar strategi bagi Nomura Holdings, Mixo Das pula berkata pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan agak lemah, terutama di China dan ia meningkatkan risiko bagi pendapatan bank dan syarikat komoditi.

“Risiko itu akan menjejaskan penilaian saham Singapura,” tambahnya.

Meskipun Singapura dapat mengelak daripada menghadapi kemelesetan bagi suku ketiga tahun ini, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memberi amaran bahawa penyata imbangan korporat yang lebih lemah dan ketidaktentuan pasaran mata wang merupakan risiko yang dihadapi bank Singapura.

“Bank-bank tempatan mempunyai pendedahan terhadap rantau Asia Tenggara,” kata Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) perniagaan pengurusan harta UBS, Kelvin Tay.

ARTIKEL YANG SAMA