Hargai jasa guru

Hargai jasa guru

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Jasa dan khidmat seorang guru harus diberikan penghargaan kerana mereka merupakan insan yang amat berjasa membentuk keperibadian seseorang pelajar itu sehingga mereka menjadi pemimpin dan ahli masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Tugas seorang guru bukannya satu tugas yang mudah, mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran serta perubahan yang pesat, namun begitu terus tekun melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai pendidik.

Perkara itu dinyatakan oleh Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Negara Brunei Darussalam, Albert Huang ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Guru Sekolah-sekolah Tiong Hua Seberang Laut 2015 yang berlangsung di Li Gong, Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Albert juga meluahkan harapan agar para penerima anugerah itu akan menjadi model kepada guru-guru sedia ada untuk terus menabur bakti dan meningkatkan keupayaan masing-masing ke arah menjadi guru yang berdedikasi dan efektif.

Majlis anjuran Majlis Hal Ehwal Masyarakat Seberang Laut, Republik China dengan kerjasama Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan di Negara Brunei Darussalam, merupakan majlis penghargaan bagi guru-guru yang mengajar mata pelajaran di sekolah-sekolah Tiong Hua Brunei dengan menggunakan Bahasa Mandarin.

Albert Huang menyampaikan ucapan pada majlis itu.
Albert Huang menyampaikan ucapan pada majlis itu.
Albert Huang bergambar ramai dengan para penerima anugerah dan jemputan khas pada majlis berkenaan.
Albert Huang bergambar ramai dengan para penerima anugerah dan jemputan khas pada majlis berkenaan.

Anugerah itu bukan sahaja sebagai tanda penghargaan tetapi juga diharap dapat menjadi pembakar semangat supaya lebih ramai guru mengajar mata pelajaran dalam Bahasa Mandarin untuk terus menaburkan bakti bagi mendidik masyarakat Tiong Hua di Negara Brunei Darussalam.

Pada majlis berkenaan seramai 16 orang guru yang berkhidmat selama 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun dan 40 tahun menerima anugerah masing-masing dengan guru yang berkhidmat 10 tahun iaitu Lim Fui Wah, Yong Li Chann dan Maria Jong Gin Nyet menerima sijil serta AS$100.

Bagi penerima anugerah 20 tahun perkhidmatan iaitu Jong Hui Choo, Lau Huet Ting, Ho Kee Shuan, Ho Ket Piau, Lau Beek Kiong, Chang Chai Nyuk, Kong Thiam Tai, Wong Toh Yieng dan Chee Ei Yee, masing-masing menerima sijil, pingat perak penghormatan dan AS$150.

Manakala itu, penerima anugerah perkhidmatan 30 tahun, Gan Bee Hoon, beliau menerima sijil, pingat emas penghormatan dan AS$200. Dan penerima anugerah perkhidmatan 40 tahun iaitu Sim Jeng Siang, Wong Mei Nyu dan Cham Ah Luan, mereka menerima piala dan AS$300.

Albert Huang menyampaikan anugerah kepada guru-guru yang diraikan pada majlis itu.
Albert Huang menyampaikan anugerah kepada guru-guru yang diraikan pada majlis itu.
Albert Huang menyampaikan anugerah perkhidmatan 40 tahun kepada Sim Jeng Siang.
Albert Huang menyampaikan anugerah perkhidmatan 40 tahun kepada Sim Jeng Siang.

pg03_151005_d

Dalam temu bual bersama salah seorang penerima anugerah yang telah berkhidmat lebih 40 tahun, Sim Jeng Siang, beliau menyatakan penghargaan kepada pihak Majlis Hal Ehwal Masyarakat Seberang Laut, Republik China dan Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan di Negara Brunei Darussalam atas penghormatan serta anugerah yang diberikan.

Beliau berkata bahawa, ia akan menjadi pembakar semangat bagi para penerima untuk terus menabur bakti dan berusaha untuk mendidik pelajar-pelajar mereka khususnya dalam mata pelajaran yang disampaikan menggunakan Bahasa Mandarin.

Beliau yang telah berkhidmat lebih 40 tahun dalam bidang pendidikan, berkata akan terus mendidik para pelajar kerana ia merupakan satu tanggungjawab yang amat bermakna kepadanya kerana bukan sahaja beliau mengajar pelajar-pelajar berbangsa Tiong Hua tetapi juga lebih ramai pelajar bukan berbangsa Tiong Hua berminat untuk mempelajari mata pelajaran yang disampaikan dalam Bahasa Mandarin.

Mengulas mengenai nasihatnya kepada guru-guru muda atau baru, beliau menasihati mereka untuk terus tekun dan tidak mudah berputus asa, menurutnya kerjaya sebagai seorang guru bukannya mudah kerana terdapat pelbagai cabaran dan tanggungjawab yang perlu dipikul namun mereka harus sentiasa bersedia untuk mempelajari ilmu baru dan tidak gementar dengan perubahan.

ARTIKEL YANG SAMA