Hargai nikmat air

Hargai nikmat air

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Segala kenikmatan itu sama ada kita sedari atau tidak telah mendatangkan kemanfaatan atau faedah untuk kehidupan kita di dunia ini. Jika hendak dikira satu persatu, nikmat yang Allah kurniakan sudah setentunya tidak akan terhitung banyaknya.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai kenikmatan yang dianugerahkan Ilahi kepada umat Islam dan salah satu daripada nikmat itu ialah air yang bukan sahaja satu sumber kehidupan kepada manusia malah kepada makhluk lain ciptaan Allah seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan.

“Tanpa air, bumi akan menjadi gersang dan tandus dan semua yang hidup akan menderita dan binasa,” tambah khatib.

Pentingnya air kepada manusia bukan setakat untuk keperluan harian saja malah air juga diperlukan untuk beribadah, pertanian, pengangkutan dan mampu membawa pembangunan pada sesebuah tempat.

Menurut khatib lagi, jika tiada air akan gersang dan tanduslah sebuah tempat, tiada kehidupan dan tidak juga berpenghuni. Ini dapat dilihat daripada kisah Nabi Ibrahim A.S yang meninggalkan isterinya, Siti Hajar dan puteranya Ismail di sebuah tempat yang gersang dan tandus.

Baginda meninggalkan mereka berdua kerana melaksanakan perintah Allah yang sudah setentunya mempunyai rahsia yang tersirat. Ketika bekalan makanan dan air habis, Siti Hajar berusaha mencari air dan berlari-lari anak dari bukit Safa ke bukit Marwah sambil memohon pertolongan kepada Allah.

Air memancar di kedua-dua kaki Ismail dan apabila diketahui tempat gersang itu mempunyai sumber air, secara perlahan-lahan manusia mula datang ke tempat tersebut dan tinggal di situ.

Sejarah ini jelas membuktikan sumber air itu sangat penting hingga mampu menjana pembangunan di sebuah tempat.

Khatib seterusnya menegaskan, masih terdapat lebih satu bilion orang yang belum menikmati kemudahan air yang bersih malah terdapat juga orang yang terpaksa bersusah payah mengangkat sendiri air dari telaga atau sungai ke rumah masing-masing.

“Kita amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang telah membekalkan air bersih kepada kita semua,” ujarnya.

Air yang bersih adalah nikmat besar kepada kehidupan dan bayangkan jika tidak ada air bersih untuk kegunaan sehari-hari. Sememangnya, jika meminum air yang tidak bersih kesannya boleh memudaratkan kesihatan dan sebagainya, kata Khatib.

Untuk itu, Khatib menyeru agar umat Islam di seluruh negara memanjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T dengan limpah kurnia tersebut dan berjimat cermat dalam penggunaan air terutamanya ketika negara sedang mengalami cuaca kering dan panas berikutan fenomena El Nino pada masa ini,” seru Khatib.

“Keadaan ini sedikit sebanyak boleh mengakibatkan penurunan hujan yang sedikit dan boleh mengurangkan kapasiti simpanan empangan air di negara ini,” tambahnya.

Khatib seterusnya menyeru supaya menggunakan air dengan kadar yang berpatutan dan yang diperlukan saja selain mengambil langkah positif dengan menanamkan sikap untuk lebih menghargai nikmat air.

“Menurut kajian Jabatan Perkhidmatan Air, kadar penggunaan air di negara ini adalah yang tertinggi di rantau ini tetapi kita juga beruntung kerana kadar tarif air di negara ini adalah rendah tetapi ini bukan alasan untuk menggunakan air secara berlebihan, kerana agama Islam melarang melakukan pembaziran,” tegasnya.

Khatib dalam khutbahnya turut mengingatkan yang Allah berkuasa untuk menurunkan hujan dan berkuasa untuk melenyapkannya.

“Jika Allah melenyapkan nikmat yang dianugerahkan kepada kita, apa akan terjadi kepada kita semua,” soalnya.

ARTIKEL YANG SAMA