Hargai nikmat kemerdekaan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Kemerdekaan itu adalah suatu nikmat daripada Allah kepada sesebuah negara kerana tidak semua manusia mendapat kurnia untuk menjadi bangsa yang merdeka.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya, hari ini, menekankan bahawa kemerdekaan itu adalah apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kebebasan daripada sebarang bentuk penjajahan, sama ada dari segi jasmani atau rohani.

Katanya lagi, ada yang terus menerus berjuang untuk mencapainya namun ada yang sudah mencapainya tetapi tidak dapat mempertahankan.

“Bukan setakat itu, ada juga yang tetap dengan kemerdekaannya tapi tidak dapat menjadikan inspirasi kemerdekaan itu suatu kenyataan yang menguntungkan bangsa dan tanah airnya,” tegas khatib.

Menurut khatib lagi, nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran Negara Brunei ini tidak datang dengan sendirinya tapi ia adalah berkat daripada Allah di mana ini adalah disebabkan, kita telah menegakkan agama Allah di bumi Darussalam dengan meletakan agama Islam di tempat yang teratas.

Manakala segala amalan yang bertentangan dengan akidah Islam dibanteras dan ini sama juga setiap perbuatan yang berlawanan dengan syariat Islam dibetulkan dan segala kelakuan yang menyalahi akhlak Islam dihindarkan.

“Kedua, kerana kita beriman dan bertakwa juga mengundang keberkatan Allah hingga membawa kebaikan pada Negara Brunei Darussalam dan isi di dalamnya dan ini adalah berkat kepimpinan raja yang adil dan berpegang teguh kepada agama Islam hingga ajaran agama Islam itu subur dalam jiwa dan mampu mengubah cara hidup rakyat dan penduduknya,” jelasnya.

Khatib seterusnya menambah, tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat tapi sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan maka ganjarannya amat besar iaitu mendapat perlindungan daripada Allah pada hari kiamat kelak.

Dengan izin Allah, sejak Negara Brunei mencapai kemerdekaan pada tahun 1984, kehidupan selepas merdeka telah jauh berubah jika dibandingkan dengan keadaan sebelumnya.

Jelas khatib, ada pun perubahan besar yang dapat dirasakan adalah peningkatan taraf hidup yang lebih baik (Hayatun Tayyibah) dan antaranya menikmati keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal melalui khidmat subsidi dan bantuan.

Kedua menikmati bekalan air bersih, tenaga elektrik, kemudahan jalan raya dan seumpamanya dan ketiga menikmati suasana alam sekitar yang bersih dan terpelihara melalui perkhidmatan kebersihan dan penjagaan yang khusus.

Keempat menikmati perkhidmatan kesihatan dan perubatan secara percuma dan kelima menikmati perkhidmatan pendidikan kebangsaan termasuk pendidikan agama secara percuma dan bermacam-macam lagi kemudahan yang telah disediakan.

Khatib seterusnya menegaskan, semua ini dapat dicapai berkat berpegang teguh kepada ajaran agama Islam iaitu dengan mengerjakan apa yang disuruhNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya di samping sentiasa bersyukur ke hadrat Allah S.W.T atas nikmat yang telah dikurniakan.

“Inilah cara hidup kita yang sentiasa mendahulukan Allah dalam segala urusan terutama dalam pentadbiran negara hingga raja yang adil mendapat berkat, rakyat yang taat mendapat rahmat dan negara yang aman kekal selamat dan berdaulat,” jelasnya.

Khatib dalam khutbahnya juga menyentuh mengenai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini adalah Menjayakan Wawasan Negara di mana wawasan tersebut adalah gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

“Baginda berpandangan jauh ke hadapan untuk memastikan Negara Brunei menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, kehidupan yang berkualiti dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan,” tambahnya.

Ke arah mencapai wawasan tersebut, jelas khatib, perlunya bersatu untuk taat setia kepada raja dan negara, yakin kepada nilai-nilai agama Islam, mengamalkan nilai-nilai mulia dan sifat berbaik-baik sesama bangsa, agama dan negara.

Dalam memastikan Wawasan Brunei 2035 dapat dicapai dengan jayanya, setiap rakyat dan penduduk negara ini, perlu mengambil peranan dan menjadikan diri mereka sebagai aset berguna dalam pembangunan negara.

Antara peranan tersebut adalah dengan melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran, menyediakan diri dalam pembangunan negara serta meningkatkan daya saing, berinovatif, kreatif, membangun ekonomi, politik, sosiobudaya, keselamatan dan sebagainya.

Untuk mencapai kejayaan dan survival bangsa dan negara, tegas khatib, rakyat dan penduduk di negara ini perlu bersatu padu sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta dalam sama-sama meningkatkan usaha dalam pembangunan negara bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, baik dalam sumber manusia, sumber alam dan sistem pentadbiran, semua adalah berperanan bagi mengisi agenda pembangunan tersebut.

Dengan usaha tersebut, negara akan menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, Negara Zikir dan menjadi ‘Baldatun Thoyyibatun wa Rabbhun Ghaffur’ iaitu negara yang aman makmur dan Tuhan Yang Maha Pengampun.

“Sehubungan itu, demi mempertahankan nikmat kemerdekaan negara yang tercinta ini, sama-samalah kita mensyukuri nikmat tersebut dengan banyak berzikir, mengingati Allah, melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya,” kata khatib mengakhiri khutbahnya.