Hargai pekerjaan

Hargai pekerjaan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 10 Mei – Walaupun penglibatan golongan belia dalam bidang pekerjaan sebagai pemandu jentera berat masih kecil, tetapi jumlah kalangan anak tempatan dalam kerjaya tersebut semakin meningkat dan menggalakkan, dan ianya menunjukkan golongan belia sekarang sudah mula menerima jenis pekerjaan atau kerjaya itu menjamin masa depan yang cerah dan mampan.

Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, berkata, pendekatan usaha sama dalam perancangan dan perlaksanaan tenaga kerja, dilihat akan dapat menambah lagi keberkesanan usaha-usaha pihak kerajaan dalam mengurangkan pengangguran.

Dan, secara tidak langsung dapat membasmi masalah kemiskinan di negara ini iaitu dengan melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran khusus dalam kalangan anak-anak tempatan.

Berucap, selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pemandu Jentera Berat kali ke-5 dan Menandatangani Kontrak Pengambilan Bekerja Di Antara Para Peserta Kursus Dengan Syarikat-syarikat Pengusaha Jentera Berat berlangsung di Syarikat Latihan Megamas Sendirian Berhad hari ini.

Tambah beliau, strategi berlandaskan sinergi dan rakan kongsi atau ‘partnership’ dalam pengendalian kursus, bukan saja akan memberikan kemahiran yang relevan dan diiktiraf, malahan juga dapat memastikan para pelatih mendapat pekerjaan sebaik-baik sahaja selepas mereka menamatkan kursus kerana kemahiran di dalam bidang ini bukan sahaja merangkumi keperluan tenaga kerja dalam industri minyak dan gas akan tetapi juga banyak diperlukan dalam bidang lain seperti industri pembinaan, pelancongan dan pengurusan hospitaliti.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama peserta-peserta kursus dan para jemputan yang menghadiri majlis tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama peserta-peserta kursus dan para jemputan yang menghadiri majlis tersebut.

“Para pencari kerja di negara ini adalah digalakkan untuk merebut peluang-peluang yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan kemahiran dan kualiti diri dalam apa jua bidang kemahiran berdasarkan kehendak pasaran pekerjaan di negara ini khususnya di sektor swasta yang secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar pencari kerja di negara ini,” katanya.

Beliau seterusnya menyarankan para belia untuk menghargai sesuatu pekerjaan sebagai kerjaya dan dilaksanakan dengan rasa bertanggungjawab dan amanah, disiplin, menghormati majikan dan rakan-rakan sekerja serta sentiasa mematuhi arahan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarikat atau majikan.

Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah memilih seramai 23 orang kalangan belia, untuk mengikuti Kursus Pemandu Jentera Berat kali ke-5 yang telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu dua bulan mengikuti latihan kemahiran di Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan tiga bulan mengikuti Program Penempatan Kerja di syarikat-syarikat swasta yang mengendalikan perkhidmatan jentera berat.

Sepanjang kursus yang telah bermula 18 November 2015 hingga 18 April lalu, pesertanya telah diberikan latihan pemanduan pelbagai jenis kenderaan berat secara intensif sehingga berjaya mendapatkan lesen kelas 4,5,6,2 dan 11 yang mana kelas-kelas lesen memandu itu sangat diperlukan oleh banyak syarikat yang melibatkan operasi jentera berat.

Selain itu para peserta juga telah dilengkapi dengan pelbagai kemahiran lain seperti yang terkandung di dalam kurikulum pembelajaran latihan kemahiran mereka antaranya ‘Defensive Driving’, ‘Apply First Aid’ ‘Occupational Four Wheel Drive’,’Driving Heavy Vehicle’, ‘Bus Driver Training’, ‘Lorry Mounted Hiab’ dan ‘Basic HSE Awareness’, kesemua latihan yang mereka ikuti itu mendapat pengiktirafan RoSPA (The Royal Society for Prevention of Accidents) St John Ambulan Australia.

Kursus ini telah dilaksanakan secara usaha sama di antara PPB, Institut Pendidikan Teknikal di Brunei dan Jabatan Tenaga dan Industri melalui Program ‘Energy Industry Competency Framework (EICF) di biayai di bawah Dana Sumber Manusia oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE).

Dua belas orang daripada peserta kursus adalah dari Pusat Latihan Mekanik manakala 11 yang lainnya terpilih menyertai program PPB.

Majlis itu turut menyaksikan acara menandatangani kontrak pengambilan bekerja dengan syarikat-syarikat seperti Sahid Sdn Bhd, Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd.

Brunei Transportation Company (BTC) Sdn Bhd, Aziz Latif & Company, Syarikat MOC Sdn Bhd, PSK Logistic Sdn Bhd, Megalift Sdn Bhd, Buildon Concrete Sdn Bhd, Slingmax Sdn Bhd, Syarikat PHLS Sdn Bhd, Syarikat Razali Amat Sdn Bhd, dan Suasana Mentari Engineering Services Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA