Hargai sumban...

Hargai sumbangan Radio Brunei

SIAPA yang hafal dan khatam sejarah negara harus ingat signifikan tarikh 2 Mei 1957. “Inilah Radio Brunei”, begitulah lafaz kata-kata sulung yang terdengar di corong radio oleh juruhebah Dayangku Intan dan acaranya dirasmikan oleh Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran (Dr.) Haji Mohd Yusof bin Pengiran Haji Abdul Rahim (Yura Halim). Pada 2 Mei tahun ini, genaplah nanti Radio Brunei berbakti kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam selama 60 tahun.

Banyak aspek sejarah Radio Brunei bermula dari siaran sulungnya hingga sekarang yang telah memiliki lima saluran yang belum kita ketahui dan ingin benar kita teroka dan dalami. Pihak-pihak yang berkenaan harus memberi makna kepada Sambutan Jubli Intan Radio Brunei ini dengan mengadakan program khusus melalui akhbar, media sosial, laman sesawang dan sebagainya dalam bentuk kuiz, sejarah sepintas lalu, malah dokumentari-drama televisyen bagi mengiktiraf dan menghargai bakti dan pengorbanan semua pegawai, petugas dan kakitangan Radio Brunei yang tidak mengenal jemu, penat dan lelah selama enam dekad. Giatlah mulai sekarang dengan mencari penaja dan kenal pasti watak-watak yang masih wujud dan telah berperanan dan bertanggungjawab mengangkat Radio Brunei kepada tahapnya yang ada sekarang. Ini termasuklah pelakon drama radio, pengulas sukan, pembaca berita, penerbit rancangan, malah petugas belakang tabir yang berhak mendapat penghargaan dan pengiktirafan.

Moga-moga Radio Brunei akan terus kekal mantap hingga mencapai Jubli Nilamnya nanti (ulang tahun ke 65). – Pemerhati Prihatin, Bunut