Hari Antarabangsa Warga Emas diingati

Hari Antarabangsa Warga Emas diingati

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2015, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini, telah mengadakan Majlis Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan 2 Rancangan Perumahan Negara Lambak kanan.

Hadir pada majlis itu ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof bersama kira-kira 250 jemputan yang terdiri daripada warga emas, ahli-ahli jawatankuasa takbir Pusat Kegiatan Warga Emas dan pegawai serta kakitangan KKBS dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi menghadiri Majlis Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2015.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi menghadiri Majlis Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2015.
Datin Paduka Hajah Adina ketika sembahyang berjemaah.
Datin Paduka Hajah Adina ketika sembahyang berjemaah.

Majlis telah dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Kampung Sungai Hanching, Haji Amron bin Haji Awang, kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil sebelum disusuli dengan ceramah yang disampaikan oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah, Haji Anwari bin Haji Rawi.

Sejurus selepas itu, majlis diteruskan pula dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah dan disusuli dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan di akhir majlis. Hari Warga Emas Antarabangsa disambut dengan pelbagai aktiviti dan program bagi mengiktiraf sumbangan bakti mereka kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA