‘Hari Bebas Kereta’ di Miri Ahad ini

‘Hari Bebas Kereta’ di Miri Ahad ini

MIRI, 18 Mei (Bernama) – Majlis Bandaraya Miri akan melancarkan projek perintisnya, ‘Kempen Hari Bebas Kereta, Green Ride 2016’, Ahad ini bagi menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan mengurangkan pelepasan karbon.

Datuk Bandar Lawrence Lai Son Yew berkata Marina Bay Miri dipilih sebagai venue kempen itu, yang akan menyaksikan penutupan jalan selama lima jam dari 6 hingga 11 pagi dengan lebih 1,000 orang menyertainya.

“Jika sambutan pada Ahad ini baik, kami akan anjurkan kempen serupa setiap bulan mulai Jun 2016,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lai berkata, kempen itu akan diadakan sekali sebulan pada Ahad dengan pelbagai aktiviti berkaitan alam sekitar dan kesihatan bagi mewujudkan kesedaran tentang bahaya pelepasan karbon daripada kenderaan.

Beliau berkata orang ramai dipelawa menyertai kempen itu, tetapi hanya 1,000 peserta berdaftar akan mendapat buah tangan daripada penganjur.

“Ahad ini, antara aktiviti yang diadakan ialah berbasikal, berjalan, aerobik, Zumba dan joging,” katanya.