Hari ECA SMSIS

Hari ECA SMSIS

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Bagi meningkatkan kesedaran mengenai ‘harga diri’ dan ‘keyakinan diri’ yang merupakan kunci ke arah kejayaan, Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS), pagi tadi, mengadakan Hari ECA, sekali gus majlis penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang yang mengikuti beberapa aktiviti kokurikulum (CCA) dan aktiviti kurikulum tambahan (ECA).

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif SMSIS, Dr. Mary Lim.

Menurut Ketua Aktiviti di sekolah itu, Thea de Guzman, acara yang diadakan ini adalah bagi menggalakkan pelajar-pelajar sekolah berkenaan mengikuti aktiviti CCA dan ECA di samping memberikan penghargaan kepada mereka yang menyerlah dalam aktiviti tersebut.

Beliau menambah, pelajar-pelajar yang aktif dan terlibat dalam kegiatan program kurikulum ini juga dapat memperbaiki gred akademik para pelajar. Ini kerana pelajar-pelajar yang aktif mengikuti aktiviti ECA dan CCA ini akan dapat meningkatkan kepercayaan diri, bermotivasi, serta dapat mengurus masa mereka dengan lebih baik.

Gambar ramai pelajar-pelajar yang menyerlah mengikuti beberapa aktiviti CCA dan ECA.
Gambar ramai pelajar-pelajar yang menyerlah mengikuti beberapa aktiviti CCA dan ECA.

Dalam ucapannya itu, beliau turut melahirkan harapan agar pelajar-pelajar lain akan dapat menyertai beberapa aktiviti lain yang melibatkan program CCA dan ECA pada tahun yang akan datang.

Hari ECA yang diadakan pagi tadi turut melibatkan penyertaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru dengan menunjukkan bakat masakan mereka kepada pelajar-pelajar dan anak-anak mereka.

Selain itu, ia juga melibatkan pameran CCA dan ECA yang pernah diikuti oleh pelajar-pelajar sekolah itu, derma darah, jual-jualan dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA