Hari Gawai meriah, ‘ngabang’ terus jadi tradisi

Hari Gawai meriah, ‘ngabang’ terus jadi tradisi

KUCHING, 1 Jun – Hari Gawai disambut meriah di Sarawak hari ini dengan budaya kunjung-mengunjung atau ‘ngabang’ terus subur menjadi tradisi.

Di Kuching beberapa rumah terbuka Gawai diadakan memaparkan keunikan tersendiri kerana ia membawa mesej amat jelas tentang pentingnya semangat toleransi dikekalkan demi penyatuan dan keharmonian rakyat negara ini.

Rumah terbuka Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas antara yang menjadi tumpuan ma-syarakat di sekitar Kuching.

Biarpun Hari Gawai merupakan sambutan masyarakat Dayak, tetamu yang datang dihidangkan dengan pelbagai juadah rakyat Malaysia antaranya ayam pansuh, nasi beriani, ayam bakar dan lain-lain lagi.

Selain hidangan enak, tetamu yang datang turut dipersembahkan dengan tarian ngajat dan diiringi alunan alat muzik Sape.

Selain ratusan tetamu yang datang, rumah terbuka turut dihadiri orang kenamaan antaranya Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian, dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Uggah yang ditemui pemberita berkata Hari Gawai adalah masa untuk berterima kasih kepada segala kehidupan yang baik, harmoni, tenteram dengan semua rahmat yang diperolehi selama ini.

Selain Uggah, beberapa kenamaan lain seperti Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem yang juga Anggota Parlimen Serian tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka di kampung kelahirannya, Kampung Pichin, Serian.

Hari Gawai disambut secara tradisinya sebagai tanda mensyukuri hasil tuaian padi dan kerajaan negeri Sarawak mengisytiharkan 1 dan 2 Jun setiap tahun sebagai cuti umum bagi meraikannya. – Bernama