Hari Impak dirai bersama

Hari Impak dirai bersama

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Firma perakaunan Deloitte and Touche, hari ini, menyambut Hari Impak Deloitte 2015 secara se-rentak di kesemua cawangannya seluruh Asia Tenggara, dengan cawangannya di negara ini turut mengadakannya di Persatuan KACA, Kiulap.

Mengalu-alukan kehadiran rombongan Deloitte and Touche ke Persatuan KACA ialah Pengarah Pengurusan Persatuan KACA, Haji Abdul Halim bin Haji Othman dan rakan kongsi Deloitte, Daniel Ng Hui Hua.

Sambutan berkenaan kemudian telah dirasmikan oleh rakan kongsi Deloitte and Touche, Pengiran Haji Moksin bin Pengiran Haji Yusof, dan diselajurkan dengan penyampaian derma kepada Persatuan KACA yang diserahkan kepada Haji Abdul Halim.

Rombongan Deloitte and Touche berganding bahu membersihkan kawasan Persatuan KACA.
Rombongan Deloitte and Touche berganding bahu membersihkan kawasan Persatuan KACA.

Pengiran Haji Moksin mengatakan acara ini merupakan yang ketiga kali diadakan di negara ini dengan tema dan suasana yang berbeza, contohnya tahun lalu ia diraikan bersama golongan penuntut dan belia dan tahun ini dikhaskan kepada kanak-kanak kurang upaya.

“Deloitte akan terus komited mengingati mereka ini dan sentiasa bersedia untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai perkara yang tidak hanya menumpu pada bantuan dalam bentuk kewangan sahaja,” ujarnya lagi.

Pada sambutan itu, tiga jenis permainan turut dianjurkan untuk menghiburkan warga Persatuan KACA dan pada masa yang sama juga warga Deloitte yang lain turut menjalankan kempen kebersihan di bahagian luar dan tingkat atas bangunan Persatuan KACA.

ARTIKEL YANG SAMA