Hari Inovasi II 4 & 5 Disember

Hari Inovasi II 4 & 5 Disember

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dengan sokongan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dan Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) akan menganjurkan Hari Inovasi II pada 4 dan 5 Disember depan.

Dengan tema ‘Discovering New Possibilities’, Hari Inovasi 2015 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pelbagai peluang pekerjaan dan kerjaya di samping sektor kerajaan.

Menurut kenyataan LKEB, hari ini, acara itu juga diadakan bagi meraikan ekosistem keusahawanan Brunei yang bertenaga dan diharap dapat menjana lebih ramai belia yang berminat dalam industri kreatif, multimedia dan animasi, serta kerjaya dalam sektor swasta.

Acara dua hari di Taman Teknologi Anggerek Desa itu diserikan dengan pelbagai aktiviti di dalam dan sekitar iCentre, Knowledge Hub (KHub) dan Bangunan Reka Bentuk & Teknologi.

Menurut kenyataan itu, setiap bangunan berkenaan akan menampilkan tema yang berlainan, dengan iCentre menumpukan ke atas ‘Keusahawanan’, KHub mempromosikan ‘Kreativiti’ dan Bangunan Reka Bentuk & Teknologi mengetengahkan ‘Peluang Kerjaya’.

Antara aktiviti yang akan diadakan nanti termasuk pameran kerja oleh syarikat-syarikat yang ikut serta, temu duga langsung, ceramah-ceramah mengenai keusahawanan dan kerjaya oleh para penceramah jemputan, ‘hackathons’ perniagaan serta pembentangan perniagaan dalam format ‘Dragon’s Den’.

Para pengunjung juga akan dapat menyaksikan demonstrasi oleh syarikat-syarikat teknologi termasuk di pondok Oculus Virtual Reality dan Live Motion Capture.

Selain itu, orang ramai juga dapat menikmati hidangan dengan jualan makanan dan minuman di tempat letak kereta iCentre dan KHub yang disertai para pengusaha makanan terkenal.

Sehubungan itu, LKEB mengalu-alukan orang ramai untuk menghadiri acara berkenaan yang akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan mempelajari lebih mendalam mengenai ekosistem keusahawanan Brunei Darussalam dan pelbagai peluang dan program sokongan yang terdapat di LKEB.

ARTIKEL YANG SAMA