Hari kaunseling lanjut pengajian ke M’sia 22 Mei ini

Hari kaunseling lanjut pengajian ke M’sia 22 Mei ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Pelajar-pelajar yang mempertimbangkan pilihan untuk melanjutkan pengajian di luar negara dialu-alukan menghadiri Hari Kaunseling Melanjutkan Pengajian di Malaysia yang diadakan pada 22 Mei ini di HRDS Services.

Hari kaunseling yang dibukakan dari jam 2 petang hingga 7 malam itu akan disertai pelbagai universiti di Malaysia termasuk Universiti Teknologi Asia Pasifik (APU), Kolej Sains Perubatan Universiti Cyberjaya, KDU, Universiti Antarabangsa INTI, Universiti MAHSA, Universiti Monash Malaysia, Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Sunway dan Universiti SEGI.

Menurut kenyataan HRDS Services, kebanyakan universiti berkenaan mempunyai kedudukan 5* dalam ranking Setara 13 bagi universiti-universiti Malaysia, yang menjadikan mereka layak untuk menerima pelajar-pelajar dengan skim pinjaman pendidikan.

Acara berkenaan akan memberikan peluang baik untuk mendapatkan maklumat secara langsung tentang program-program yang ditawarkan oleh institusi yang ikut serta termasuk mengenai kriteria kelayakan, bayaran, tempat tinggal dan kos sara hidup, program laluan ke universiti luar negara dan lain-lain.

Presiden Unit Pelajar-pelajar Brunei Malaysia, Dayang Nurhudiya Fakhiriah binti Haji Damit akan hadir sepanjang hari kaunseling itu untuk memberikan maklumat langsung tentang pengajian dan tinggal di Malaysia.

Para pengunjung acara itu nanti juga dinasihatkan membawa sijil-sijil berkaitan kelayakan terbaru mereka dan transkrip untuk membantu kakitangan universiti mengenal pasti program pengajian bersesuaian. Kemasukan pada hari kaunseling adalah percuma.

ARTIKEL YANG SAMA