Hari Kebangsaan dirai bersama 200 rakyat Australia

Hari Kebangsaan dirai bersama 200 rakyat Australia

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam, baru-baru ini telah mengalu-alukan sekitar 200 orang rakyat Australia ke kediaman rasmi di Kota Batu di sini, untuk meraikan hari kebangsaan negara mereka.

Menurut kenyataan suruhanjaya tinggi berkenaan, Hari Australia yang jatuh pada setiap 26 Januari merupakan peluang bagi komuniti Australia di Brunei untuk berhubung semula selepas cuti tahun baru, mengalu-alukan rakyat Australia baru ke Brunei dan meraikan semua perkara Australia.

Pada majlis itu, para tetamu menjamu hidangan dari Australia, sementara kanak-kanak berhibur dengan bouncer dan pelbagai hiburan lain, yang mana majlis itu turut ditaja oleh Hotel Radisson, Tiara Maju Meats dan Meat and Livestock Australia.

Sementara itu Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Norman Mercer, dalam perutusan sempena Hari Australia 2016 telah menyatakan bahawa Hari Australia merupakan peluang penting untuk rakyat Australia, di dalam dan luar negara, merenungkan apa maknanya menjadi rakyat negara hebat.

Menurut beliau, di Brunei, Hari Australia juga merupakan masa penting untuk merenungkan kedudukan Australia di rantau ini dan dunia.

“Peranan kita di Asia, sama ada sebagai rakan perdagangan, destinasi pendidikan atau rakan strategik menerusi organisasi-organisasi seperti Sidang Kemuncak Asia Timur, merupakan keutamaan rancangan dunia kebangsaan kita,” ujarnya.

Katanya lagi, keutamaan yang kerajaan Australia letakkan ke atas mengekalkan hubungan rapat dengan rantau ini jelas ditunjukkan menerusi inisiatif Pelan Colombo Baru dan Majlis ASEAN-Australia yang kedua-duanya dilancarkan di Brunei, baru-baru ini.

Suruhanjaya Tinggi Australia dalam kenyataannya turut mengingatkan rakyat atau penduduk tetap Australia yang tinggal di Brunei supaya mendaftar dengan suruhanjaya tinggi untuk memastikan mereka dilibatkan dalam acara-acara akan datang seperti Hari Australia.

Mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti-aktiviti suruhanjaya tinggi dengan mengikuti Facebook Australia in Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA