Hari Keluarga Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei meriah

Hari Keluarga Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei meriah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei, hari ini, telah mengadakan acara Hari Keluarga yang dibukakan kepada orang ramai di Perkhemahan Rimba Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Pemerintah Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei, Leftenan Kolonel Haji Mohd Sheh Haji Bagol yang turut menyertai acara aerobik dan walkaton di awal acara pagi tadi.

Majlis telah dimeriahkan dengan aktiviti sukan ria seperti merambat, memancing bola, menggolek tayar, menguji minda dan ‘Amazing Race’.

Selain daripada itu, pihak penganjur turut mengadakan peraduan mewarna bagi kanak-kanak dan dewasa, lukisan muka, Bouncer bagi kanak-kanak, karaoke, jualan garaj dan serta aktiviti lain di pondok-pondok di sana.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan pameran statik yang mempamerkan sejarah dan latar belakang rejimen, pameran radio dan kelengkapannya, pameran senjata serta helikopter.

Antara ahli keluarga yang menyaksikan pameran statik Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei.
Antara ahli keluarga yang menyaksikan pameran statik Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei.
Pameran helikopter, menaiki trem, dan menunggang basikal antara aktiviti berkeluarga yang dapat menarik minat banyak pengunjung.
Pameran helikopter, menaiki trem, dan menunggang basikal antara aktiviti berkeluarga yang dapat menarik minat banyak pengunjung.
Antara telatah dan aksi pengunjung yang turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan.
Antara telatah dan aksi pengunjung yang turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan.

Ketika ditemui, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun ke-28 rejimen itu, PWOII Alimi bin Haji Ali memberitahu, majlis itu merupakan acara tahunan yang diadakan oleh rejimen berkenaan di beberapa tempat di negara ini.

Menurutnya, sebelum acara itu, mereka turut mengadakan Majlis Membaca Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran bagi sambutan ulang tahun rejimen itu yang kemudiannya diteruskan dengan solat Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah.

Selain itu, acara memotong kek sambutan ke-28 penubuhan Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei juga telah diadakan di pusat berkenaan di samping menganjurkan kempen menderma darah.

Aktiviti lain yang diadakan termasuk Projek Titian Amal di tanah perkuburan Islam di Kampung Kilanas dan kempen kebersihan dan bergotong-royong di Masjid Kampung Kilanas, baru-baru ini.

ARTIKEL YANG SAMA