Hari Keluarga Kebangsaan 1 Mei ini

Hari Keluarga Kebangsaan 1 Mei ini

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun ini akan jatuh pada 1 Mei 2016 dengan membawa tema ‘Keluarga Berwawasan’.

Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil menjelaskan, sambutan akan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran iaitu Solat Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Khas Hari Keluarga Kebangsaan pada 30 April 2016.

Ia akan diadakan serentak di semua masjid di keempat-empat daerah yang bertumpu di empat buah masjid utama iaitu Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong bagi Daerah Brunei Muara; Masjid Muhammad Jamalul Alam bagi Daerah Belait; Masjid Hassanal Bolkiah bagi Daerah Tutong; dan Masjid Utama Mohammed Salleh bagi Daerah Temburong.

Manakala itu, acara kemuncak ialah Ceramah Perdana Pengukuhan Institusi Keluarga oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang akan diadakan pada 1 Mei 2016 di Dewan Teater Utama, Jabatan Perdana Menteri.

Datin Paduka Dr. Hajah Norlila ketika menyerahkan poster.
Datin Paduka Dr. Hajah Norlila ketika menyerahkan poster.
Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan menyerahkan Poster HKK 2016 kepada Datin Paduka Dr. Hajah Norlila.
Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan menyerahkan Poster HKK 2016 kepada Datin Paduka Dr. Hajah Norlila.

Menurut beliau, selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016, seramai 1,000 orang peserta yang terdiri daripada para belia termasuk penuntut-penuntut institut pengajian tinggi, pelatih-pelatih Pusat Pembangunan Belia dan rekrut pasukan-pasukan beruniform telah dijemput bagi menghadiri sesi yang julung-julung kali diadakan ini.

Menjelaskan lanjut mengenai sambutan tahun ini semasa mempengerusikan sidang media di Dewan Citra Budaya, KKBS, hari ini, beliau berkata, Program Anakku Harapanku juga akan diadakan, yang merupakan program penyampaian cenderamata kelahiran ‘Anakku, Harapanku’ bagi anak-anak damit yang lahir pada 1 Mei 2016 sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016.

Majlis ini akan diadakan secara serentak pada 2 Mei di keempat-empat hospital iaitu Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan; Hospital Suri Seri Begawan, Belait; Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong; dan Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam, Temburong.

Pada 3 Mei pula, Majlis Perhimpunan Keluarga Mawaddah akan diadakan di Dewan Utama, Dewan Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas pada sebelah pagi dan di Pusat Insani, Seria pada sebelah petang.

Ia antara lain akan diisi dengan Forum Motivasi Pengukuhan Institusi Keluarga dengan mengetengahkan penceramah-penceramah undangan iaitu Dekan Hal Ehwal Pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar dan Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Ghafor. Peserta sasaran terdiri daripada keluarga-keluarga yang dijemput khas.

Selain itu, beberapa acara sampingan juga akan diadakan dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila menggalakkan semua pihak memeriahkan sambutan pada tahun ini dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang difikirkan bersesuaian dan mengongsikan bersama aktiviti untuk menyerlahkan lagi perpaduan senegara dalam menyambut Hari Keluarga Kebangsaan.

Sidang media berkenaan turut diselajurkan dengan penyerahan Poster HKK2016 oleh Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad kepada Datin Paduka Dr. Hajah Norlila yang kemudiannya menyerahkannya kepada pegawai-pegawai daerah.

Sambutan diselenggarakan bersama oleh KKBS, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Agama dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, badan-badan korporat dan organisasi bukan kerajaan termasuk peringkat akar umbi.

ARTIKEL YANG SAMA