Hari Keluarga Kg. Masin & Bebatik meriah

Hari Keluarga Kg. Masin & Bebatik meriah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Dalam usaha memupuk kefahaman mengenai kepentingan kesejahteraan hidup berkeluarga dan mewujudkan masyarakat kampung yang harmoni dan berdaya saing, Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan Pengawasan Kejiranan Kampung Masin dan Bebatik telah mengadakan Hari Keluarga dan Sukan Ria Sempena Hari Keluarga 2016 di Tamu Serbaneka Kampung Masin, hari ini.

Pengerusi Majlis, Haji Abdul Wahab bin Haji Bungsu ketika ditemu bual berkata, antara aktiviti yang diadakan termasuk acara Pacuan Empat Roda, Sukan Ria, Sukan Ria MPK bagi penduduk Kampung Masin dan Bebatik, membalik-balik tayar 400 kilo, menarik ‘Kuntul’, dan banyak lagi.

“Acara Pacuan Empat Roda telah diadakan sejak 20 Mei lagi, dan diteruskan hingga ke petang hari ini,” ujarnya sambil menambah, ia mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan penyertaannya meliputi peserta dari Sabah dan Miri, Malaysia serta Kalimantan, Indonesia.

Sebanyak 15 buah kereta pacuan empat roda menyertai acara tersebut, termasuk tiga buah dari Sabah, sebuah dari Kalimantan dan sebuah dari Miri, manakala selebihnya dari Negara Brunei Darussalam.

Beliau juga menjelaskan tentang acara menarik ‘Kuntul’, iaitu menarik kereta luncur yang diisi dengan 12 guni beras dan banyak lagi.

Haji Abdul Wahab menyampaikan sumbangan Ideal Farm kepada salah seorang anak yatim.
Haji Abdul Wahab menyampaikan sumbangan Ideal Farm kepada salah seorang anak yatim.
Permainan skrabel Jawi khas untuk anak-anak yatim.
Permainan skrabel Jawi khas untuk anak-anak yatim.
Pertandingan orang kuat dalam acara membalik tayar seberat 400 kilo.
Pertandingan orang kuat dalam acara membalik tayar seberat 400 kilo.

Pemenang yang berjaya menarik ‘kuntul’ sejauh 100 meter membawa pulang hadiah yang ada dalam kuntul berkenaan.

Selain aktiviti sukan ria berkenaan, acara juga dimeriahkan dengan acara sampingan seperti menggubah bunga hidup, masak kunyit ayam tua, tulisan Jawi, perlawanan damak, baling rotan dalam kun, mengutip gula-gula bagi kanak-kanak lelaki, memasukkan bola tenis ke dalam bulatan dan banyak lagi.

Acara ini merupakan kali ke-3 diadakan, dan pada tahun ini ia diselitkan dengan acara keagamaan khas untuk kanak-kanak yang tinggal di Kampung Masin dan Bebatik.

Pada acara ini, anak-anak yatim turut tidak dilupakan di mana mereka menerima sumbangan kewangan daripada Jawatankuasa Masjid Kampung Masin hasil daripada jualan ‘Program’.

Malah, Ideal Farm juga menyumbangkan sebanyak 400 tray telur untuk anak-anak yatim berkenaan.

Sumbangan berkenaan bertujuan untuk meringankan beban harian anak-anak yatim sempena menjelangnya Ramadan dan Hari Raya.

ARTIKEL YANG SAMA