Hari Keluarga PGGMB 30 Okt ini

Hari Keluarga PGGMB 30 Okt ini

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) akan mengadakan Sambutan Hari Keluarga PGGMB 2015 pada 30 Oktober sehingga 1 November ini di Dewan Serbaguna Sekolah PGGMB, Sungai Akar.

Setiausaha Agung PGGMB selaku Pengerusi Sambutan Hari Keluarga PGGMB, Haji Matassan bin Haji Bungso memberitahu, sambutan ini dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Guru ke-25.

Menjelaskan lanjut, semasa mempengerusikan sidang media mengenai sambutan itu di Ibu Pejabat PGGMB, di sini, hari ini, beliau berkata semasa sambutan itu, Seminar Pendidikan akan diadakan pada 30 Oktober yang membawa tema ‘Guru Pemangkin Insan Berwawasan’.

“Tema ini menekankan peranan guru dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna, berwawasan, berakidah, bermoral, dinamik, serta berkualiti duniawi dan ukhrawi, berpasak kepada falsafah Melayu Islam Beraja,” ujarnya sambil menambah, satu bengkel juga akan diadakan pada 31 Oktober.

Menurut beliau, sebanyak empat kertas kerja seminar dan satu kertas kerja bengkel akan dibentangkan oleh lima orang pembentang yang terdiri daripada dua orang pembentang tempatan dan tiga orang pembentang jemputan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Haji Matassan dan Haji Yahya semasa sidang media itu.
Haji Matassan dan Haji Yahya semasa sidang media itu.

Seminar itu dijangka akan dihadiri hampir 500 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru besar, para guru dari sekolah-sekolah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta universiti-universiti.

Borang penyertaan seminar itu telah pun diedarkan dan penyertaan masih dibuka sehingga esok (29 Oktober) dan boleh dihantar ke Ibu Pejabat PGGMB melalui faks 2222803.

Di samping itu, ujarnya lagi, antara acara lain yang akan diadakan sepanjang sambutan itu termasuk pertandingan-pertandingan tulisan jawi, tarian asli dan nyanyian asli, permainan sukan dan riadah serta gerai-gerai jualan.

Penyampaian Hadiah Terbaik 2014 bagi peperiksaan-peperiksaan awam seperti Penilaian Sekolah Rendah (PSR), BGCE ‘O’ dan ‘A’ Level, Sijil Pendidikan Ugama (SPU), Sijil dan Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) kepada anak-anak ahli PGGMB juga akan diadakan semasa sambutan tersebut.

Acara sukan dan riadah akan diadakan pada hari terakhir sambutan pada 1 November.

Sambutan Hari Keluarga PGGMB tahun ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara seluruh ahli PGGMB dan juga masyarakat sekeliling.

Sehubungan itu, PGGMB mengalu-alukan seluruh keluarga PGGMB dan orang ramai ke acara berkenaan yang diadakan di kawasan Sekolah PGGMB Sungai Akar di Simpang 396, Jalan Kebangsaan Lama, Kampung Sungai Akar.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Ketua Bahagian Penerangan PGGMB, Haji Yahya bin Haji Mirasan.

ARTIKEL YANG SAMA