Hari Keluarga PGGMB

Hari Keluarga PGGMB

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Bersempena dengan Sambutan Hari Guru ke-26, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) telah mengadakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Keluarga PGGMB 2016 yang diadakan di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Antin bin Haji Ahad.

Pada majlis itu, dua kertas kerja telah dibentangkan sebagai sebahagian daripada seminar pendidikan yang disampaikan oleh dua orang pegawai kanan dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

Kertas kerja pertama bertajuk ‘Computing in Model Schools in Brunei’ disampaikan oleh Hajah Nor Zurina binti Haji Kassim yang antara lain membentangkan mengenai kesan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran serta kaedah-kaedah yang dapat meningkatkan kemahiran penggunaan ICT dalam kalangan penuntut, guru dan pentadbir sekolah.

Kertas kerja kedua pula disampaikan oleh Ketua Kluster 4, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Mariam binti Haji Ladi yang bertajuk ‘Best Practices Towards Excellence in Education in Brunei Darussalam’ yang mengongsikan mengenai inisiatif-inisiatif terkini yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan.

Ahli-ahli PGGMB yang hadir pada sambutan tersebut.
Ahli-ahli PGGMB yang hadir pada sambutan tersebut.

Di samping itu, Hajah Mariam juga menyentuh mengenai konsep ‘Character’ dan ‘Global Citizenship Education’ dengan tajuk ‘Expension of Quality of Education in Asean and Korea Through Character and Global Citizenship Education’.

Hajah Mariam menjelaskan bahawa setiap negara harus menyediakan pendidikan yang saksama dan berkualiti tinggi kepada rakyatnya dan dituntut untuk berkongsi sama usaha-usaha serta amalan-amalan terbaik yang dilaksanakan untuk kepentingan bersama.

“Untuk mencapai hasrat berkenaan, setiap penduduk dunia harus saling bekerjasama dan berhubung rapat di antara satu sama yang lain dalam usaha untuk membentuk pendidikan global yang menyeluruh dan berkualiti tinggi,” tambah beliau.

Sambutan Hari Keluarga PGGMB ini akan diteruskan selama dua bulan yang diisikan dengan pelbagai kegiatan dan pertandingan berupa keagamaan, kebudayaan dan sukan.

ARTIKEL YANG SAMA