Hari Keluarga terus mekar

Hari Keluarga terus mekar

Oleh Siti Nur Wasimah S. & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Sebagai usaha untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persaudaraan, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Hari Keluarga di Taman Biodiversiti, Taman Rekreasi Hutan Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar serta para setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua pengarah pendidikan, para pengarah, pegawai, kakitangan serta ahli keluarga kementerian berkenaan.

Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Haji Awang Abdul Rahman bin Haji Nawi dalam ucapannya berkata, sambutan hari keluarga yang membawa tema ‘Keluarga Cergas, Generasi Cerdas’ bertujuan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persaudaraan di samping memberi peluang untuk bersuai kenal sesama keluarga.

“Dengan ini nanti ia akan dapat mewujudkan keharmonian dan menyemai semangat kekitaan dan hormat-menghormati antara satu sama yang lain dan sambutan ini secara tidak langsung turut mendidik generasi muda mengenai kepentingan institusi keluarga,” kata Haji Awang Abdul Rahman.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom semasa menghadiri Hari Keluarga Kementerian Pendidikan kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom semasa menghadiri Hari Keluarga Kementerian Pendidikan kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyertai senamrobik.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyertai senamrobik.
Haji Awang Abdul Rahman semasa menyampaikan ucapan.
Haji Awang Abdul Rahman semasa menyampaikan ucapan.
Ahli keluarga warga Kementerian Pendidikan bergambar ramai.
Ahli keluarga warga Kementerian Pendidikan bergambar ramai.

“Sambutan Hari Keluarga ini merupakan salah satu mekanisme yang boleh diguna pakai untuk mencerminkan penglibatan dan komitmen tinggi semua lapisan masyarakat.

“Usaha ini selaras dengan kaedah pendekatan keseluruhan negara dan masyarakat dan selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035,” kata Haji Awang Abdul Rahman.

Aktiviti pagi tadi dimeriahkan lagi dengan pertandingan sukan ria mengikut kategori dengan mensasarkan penglibatan aktif semua peringkat warga Kementerian Pendidikan bersama keluarga dengan cara hidup sihat serta melahirkan generasi yang berminda cerdas.

Sementara itu, ahli keluarga besar Allahyarham Pengiran Mustapha bin Pengiran Abd Rahman dan Hajah Noralam binti Sanudin pula mengadakan acara senamrobik keluarga sihat sempena sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016 di Pusat Promosi Kesihatan Berakas.

Tetamu kehormat Hari Keluarga Allahyarham Pengiran Mustapha dan Hajah Noralam yang diadakan di Pusat Promosi Kesihatan, Berakas.
Tetamu kehormat Hari Keluarga Allahyarham Pengiran Mustapha dan Hajah Noralam yang diadakan di Pusat Promosi Kesihatan, Berakas.
Kanak-kanak yang menyertai aktiviti sempena Hari Keluarga kelmarin.
Kanak-kanak yang menyertai aktiviti sempena Hari Keluarga kelmarin.
Sesi bergambar ramai seluruh keluarga Allahyarham Pengiran Mustapha.
Sesi bergambar ramai seluruh keluarga Allahyarham Pengiran Mustapha.

Senamrobik yang disertai kira-kira 200 orang yang terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham Pengiran Mustapha dan Dayang Hajah Noralam itu diadakan untuk menggalakkan ahli keluarga meluangkan masa bersama selain mengeratkan lagi ikatan tali silaturahim melalui aktiviti riadah.

Menurut Awang Hassan bin Haji Kadir, seorang ahli keluarga besar yang menyertai acara itu berkata, tujuan pertemuan pada pagi ini adalah untuk memberi peluang kepada semua kerabat Allahyarham Pengiran Mustapha berkumpul untuk mengeratkan dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta bersuai kenal khususnya bagi generasi muda.

“Kita harus ingat keharmonian keluarga terletak pada sikap tanggungjawab dan komunikasi antara ahli keluarga. Insya Allah kita akan membuat perancangan pada masa akan datang bagi mengadakan acara yang lebih meriah lagi,” kata Awang Hassan.

Allahyarham Pengiran Mustapha yang meninggal dunia pada tahun 1953 pada usia 80 tahun, mempunyai sembilan orang anak, yang mana dua daripadanya masih hidup.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis berkenaan ialah dua orang anak Allahyarham Pengiran Mustapha, iaitu Pengiran Haji Mohamad dan Pengiran Haji Ahmad.

Acara senamrobik pagi tadi dibimbing oleh Arrisya dari Fitness Zone dan dimeriahkan dengan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik.

ARTIKEL YANG SAMA