Hari Kesedaran Autisme 2 April ini

Hari Kesedaran Autisme 2 April ini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Sempena Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia ke-9, SMARTER Brunei dengan kerjasama NBT (B) Sdn Bhd akan mengadakan acara dua dalam satu iaitu Pelancaran Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia ke-9 dan Jualan Amal Ke-4 yang akan diadakan pada 2 dan 3 April ini.

Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman berkata, perasmian Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia ke-9 akan diadakan pada 2 April di Atrium Pusat Membeli-belah Times Square, Berakas manakala Jualan Amal SMARTER Brunei ke-4 akan diadakan di Kawasan Letak Kereta, Kelab Tenis Brunei selama dua hari iaitu pada 2 hingga 3 April.

Bercakap pada sidang akhbar di Pusat BACA, SMARTER Brunei, Jalan Gadong, hari ini, beliau berkata, majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Menurutnya, kira-kira 300 orang peserta, terdiri daripada ahli-ahli SMARTER Brunei dan keluarga mereka, jemputan dari kementerian-kementerian, ahli-ahli masyarakat, wakil-wakil persatuan bukan kerajaan dan orang ramai dijangka menyertai kedua-dua acara itu nanti.

Malai Haji Abdullah menunjukkan poster mengenai acara sambutan dan jualan amal yang akan diadakan pada 2 dan 3 April nanti.
Malai Haji Abdullah menunjukkan poster mengenai acara sambutan dan jualan amal yang akan diadakan pada 2 dan 3 April nanti.

Haji Malai Abdullah juga menyatakan bahawa majlis sambutan yang membawa tema, ‘SMARTER’s M.O.V.E for Autism’, bukan sahaja diharap untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai mereka yang mempunyai autisme tetapi juga supaya masyarakat akan mengetahui dengan lebih mendalam mengenai latihan dan pendidikan yang dilalui oleh para pelajar di Pusat SMARTER serta pelbagai kegiatan yang dilaksanakan oleh persatuan itu.

Dalam hubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama berkunjung ke acara sambutan dan jualan amal itu di mana mereka boleh membeli sambil beramal.

Semasa jualan itu, para pengunjung boleh mendapatkan pelbagai bagai jenis barangan pada harga yang menarik serta juga boleh menempah pelbagai barangan istimewa dan hasil kraf tangan pelajar-pelajar pusat SMARTER Brunei.

Jualan amal itu dibukakan untuk kunjungan orang ramai pada 2 April bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan pada 3 April bermula pukul 7 pagi hingga 6 petang.

Orang ramai yang ingin mendermakan barangan terpakai yang boleh digunakan semula bagi jualan itu kepada SMARTER Brunei, boleh menghantarkannya terus ke mana-mana Pusat SMARTER atau menghubungi talian hotline, 7172991, di mana pihak SMARTER boleh mengaturkan kenderaan bagi mengutip barangan derma itu.