Hari Kesedaran Penyusuan Susu Ibu Ahad ini

Hari Kesedaran Penyusuan Susu Ibu Ahad ini

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Bersempena dengan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang kini disambut di Negara Brunei Darussalam dan di seluruh dunia, Kompleks Membeli-Belah Mabohai akan mengadakan Hari Kesedaran Penyusuan Susu Ibu pada 9 Ogos bermula 10 pagi hingga 5 petang, bertempat di kompleks berkenaan.

Acara anjuran bersama Jawatankuasa Keibuan, Anak Damit dan Kanak-kanak Kebangsaan Brunei Darussalam dan Pusat Promosi Kesihatan itu akan diisikan dengan taklimat mengenai dengan Penyusuan Susu Ibu oleh Pegawai Perubatan Kanan merangkap Ketua Perkhidmatan Keibuan, Dr Hajah Roslin binti Haji Sharbawi.

Dalam taklimatnya nanti, beliau akan menerangkan mengenai kebaikan menyusukan anak damit dengan susu ibu, cara-cara penyusuan yang betul, dan banyak lagi.

Mereka yang baru menjadi ibu serta yang pernah gagal mengamalkan penyusuan ibu dialu-alukan menghadiri ceramah tersebut yang akan diadakan pada jam 3 petang. Pada masa yang sama, orang ramai yang hadir juga dijemput untuk menyaksikan pameran promosi mini yang mengetengahkan tentang kelebihan penyusuan susu ibu dan nasihat tentang penyusuan ibu, selain itu, banyak aktiviti menarik turut diungkayahkan untuk memeriahkan lagi majlis berkenaan.