Hari malang buat Ronaldo

Hari malang buat Ronaldo

PARIS, 19 Jun (AFP) – Austria berasa lega selepas bintang bola sepak Portugal Cristiano Ronaldo gagal menjaringkan penalti dan peluang untuk mencatat nama dalam buku rekod Kejohanan Eropah awal pagi tadi.

Portugal mendapat sepakan penalti pada minit ke-79 dalam saingan Kumpulan F berdepan Austria. Penjaga gol Robert Almer melayangkan badan ke arah lain tetapi sepakan Ronaldo terkena tiang.

Pemain berusia 31 tahun yang memiliki beberapa rekod jaringan seperti tidak percaya dengan apa dilakukannya. Dia hanya memerlukan satu gol dalam kejohanan itu untuk menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam empat Kejohanan Eropah.

Seminit kemudian Ronaldo berjaya meletakkan bola di gawang tetapi dia ofsaid. Dia juga memiliki peluang keemasan pada babak pertama tetapi tandukannya terlalu dekat dengan Almer.

Perlawanan tamat tanpa jaringan, penyokong Austria mula melaungkan “Messi, Messi” dan Ronaldo mula menjadi bualan di Twitter ketika dia berjalan keluar dengan kecewa.

Reaksi Ronaldo setelah gagal menyudahkan penalti yang diberikan. – AFP
Reaksi Ronaldo setelah gagal menyudahkan penalti yang diberikan. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Namun kejutan masih belum tamat.

Seorang lelaki berjaya melepasi kawalan keselamatan di Parc des Princes dan berlari mendapatkan bintang Portugal itu. Ronaldo berjaya menahan kekecewaannya sementara menanti lelaki terbabit mengeluarkan telefon untuk mengambil selfie.

Analisis mengenai rekod Ronaldo mula dikeluarkan. Penyerang itu kini terlepas 19 daripada 110 penalti dalam kariernya, termasuk dalam penentuan penalti, menurut pakar statistik bola sepak Sepanyol, Mr Chip.

Pemerhati lain juga mengeluarkan sedikit kritikan. Bekas kapten England, Gary Lineker berkata menerusi Twitter: “Ronaldo: tiada gol daripada 36 sepakan percuma dalam kejohanan utama. Bale: dua gol daripada tiga sepakan percuma di kejohanan major.”